Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Lokasi kurang sesuai, jejas imej negara

KUALA LUMPUR - Pengunjung sekitar Dataran Merdeka meluahkan kekesalan berhubung Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang disifatkan menjejaskan imej negara di mata pelancong luar.
Pengunjung yang mahu dikenali sebagai Ismail berkata, pemilihan lokasi himpunan yang diadakan di Dataran Merdeka disifatkan tidak bersesuaian.
"Kawasan ini merupakan tumpuan pengunjung, bukan sahaja tempatan malah orang luar turut datang lihat keindahan di Dataran Merdeka ini terutamanya bangunan Sultan Abdul Samad.
"Saya kesal apabila lokasi bersejarah ini dicemari dengan himpunan yang pada saya tidak berfaedah, dicemari dengan kata-kata kurang enak. Semua ini jejaskan imej negara apabila disaksikan pelancong luar," katanya pada Sabtu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa pelancong asing bertindak mengambil gambar serta merakam video gelagat peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah ini.
Sementara itu, seorang pelancong dari Indonesia yang mahu dikenali sebagai Yanti berkata, dia terkejut dengan pekikan suara daripada peserta himpunan ini.
"Saya sangkakan ada berlaku kekecohan, sebab dengar teriakan dan sorakan ramai orang, rupanya saya dimaklumkan ada himpunan.
"Saya tak mahu ulas berkaitan himpunan ini, sebab saya tak tahu apa tujuannya. Apa yang saya tahu, saya datang ke Malaysia untuk nikmati keindahan dan berehat," katanya.
Peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah mulanya berkumpul di hadapan pekarangan sebuah pusat beli belah di ibu negara pada jam 2.30 petang sebelum dilihat mula bergerak melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka.
Himpunan yang berlangsung dengan aman ini turut dikawal pegawai dan anggota polis yang bertugas sejak awal pagi.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima permohonan semula penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah daripada pihak penganjur yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihak penganjur masih gagal mengemukakan permohonan semula notis tersebut selepas ia dikembalikan pihak polis ekoran terdapat maklumat tidak lengkap.
Beliau berkata, pihak penganjur juga perlu melengkapkan permohonan mengikut masa ditetapkan berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Katanya, semakan polis mendapati mereka (pihak penganjur) tidak mendapat kelulusan daripada pemilik premis lokasi perhimpunan itu akan diadakan dan pihak polis akan bersiap siaga dengan lebih 400 anggota serta pegawai akan ditugaskan pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!