Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Orang ramai mengeluh, banyak urusan terganggu

KUALA LUMPUR - Lalu lintas di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, sesak susulan penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah pada Sabtu.
Rata-rata pengunjung di sekitar lokasi perhimpunan meluahkan kekesalan mereka disebabkan urusan mereka terganggu disebabkan himpunan ini.
Salah seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Rahman berkata, himpunan sebegini seharusnya diadakan di kawasan tertutup.

"Sepatutnya himpunan ini tidak mengganggu keadaan lalu lintas, saya lihat ia tidak bawa manfaat kerana urusan orang ramai rata-ratanya terganggu.
"Saya sendiri ikutkan mahu membeli pakaian di sini, namun terpaksa tangguh seketika, mungkin dalam lewat petang disebabkan himpunan ini," katanya pada Sabtu.
Sementara itu, pengunjung yang mahu dikenali sebagai William berkata, pemilihan lokasi seharusnya menjadi keutamaan penganjur himpunan.

"Jangan fikir keadaan peserta sahaja, kena ambil kira juga keadaan sekeliling, jangan susahkan orang ramai.
"Mujurlah anggota polis ditempatkan di sekitar kawasan ini, keadaan tenang ini diharap berkekalan sehingga berakhirnya himpunan," katanya.
Terdahulu, puluhan peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah dilihat mula bergerak dari Pusat Beli Belah Sogo menuju ke Dataran Merdeka.

Himpunan dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) bersama persatuan mahasiswa dari beberapa universiti tempatan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda untuk bersama-sama menentang rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!