Penyokong Pas tidak wajib sertai himpunan di ibu negara

SHAH ALAM - Pas tidak menggerakkan ahlinya di seluruh negara untuk menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah di ibu negara pada Sabtu kerana penganjur didakwa menolak pembabitan rasmi mana-mana parti politik.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda, Nadzir Helmi berkata, bagaimanapun parti berkenaan tidak menghalang mana-mana ahlinya turut serta dalam himpunan itu.
Ujarnya, walaupun tidak akan mengerahkan penyokong turun beramai-ramai, namun Pas tetap menyokong himpunan berkenaan kerana tujuannya baik dan demi kepentingan rakyat.
"Pas menyokong himpunan itu kerana tujuannya baik demi kepentingan rakyat dan jika ada yang menyertainya kami tidak benarkan membawa apa-apa logo, jenama atau lambang parti semasa menghadiri himpunan terbabit.
"Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya menyekat orang ramai terutamanya mahasiswa daripada menyertai perhimpunan aman demi menyelamatkan negara dari masalah gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Untuk rekod, Himpunan Rakyat Benci Rasuah anjuran Sekretariat Rakyat Benci Rasuah akan berhimpun di hadapan Sogo, pada jam 2.30 petang, esok sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Sekretariat itu yang mewakili 50 organisasi dan 38 individu akan menuntut tindakan segera terhadap kes rasuah melibatkan ahli politik, siasatan yang telus dan komitmen daripada semua pemimpin politik termasuk pembangkang untuk menamatkan gejala rasuah di Malaysia.
Dalam pada itu, Nadzir juga menegaskan bahawa Pas tidak pernah berniat menunggang himpunan berkenaan demi meraih laba atau keuntungan politik.
Tambahnya, parti tersebut tidak akan berbuat demikian kerana mereka sudah terbabit dengan pelbagai perhimpunan membabitkan kepentingan umum dan kebajikan rakyat Malaysia termasuklah beberapa siri Perhimpunan Bersih serta Himpunan Anti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
"Kalau ada pihak mengatakan kami mahu menunggang himpunan anjuran mahasiswa ini, mereka memang silap. Ini kerana rakyat Malaysia tahu kami memang sentiasa terbabit dengan pelbagai himpunan membabitkan isu kebajikan rakyat, integriti dan sebagainya.
"Justeru, Pas berasa sedikit kecewa kerana pihak penganjur menuduh kami mahu menunggang himpunan anjuran mahasiswa terbabit.
"Ini kerana Pas memang sentiasa menyokong himpunan demi kepentingan orang ramai termasuklah semasa kami berjuang bersama PKR dan DAP ketika berada dalam Pakatan Rakyat dahulu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
