Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Suasana tenang, terkawal

KUALA LUMPUR - Puluhan peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah berhimpun di hadapan pekarangan sebuah pusat beli belah di ibu negara, di sini pada Sabtu.
Himpunan dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) bersama persatuan mahasiswa dari beberapa universiti tempatan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda untuk bersama-sama menentang rasuah.

Peserta himpunan sebelum itu berkumpul di sekitar pusat beli belah terbabit kira-kira jam 2.30 petang sebelum bersedia untuk bergerak melalui Jalan Tunku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka.
Tinjauan Sinar Harian mendapati suasana himpunan dalam keadaan terkawal dan diawasi oleh anggota polis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima permohonan semula penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah daripada pihak penganjur yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihak penganjur masih gagal mengemukakan permohonan semula notis tersebut selepas ia dikembalikan pihak polis ekoran terdapat maklumat tidak lengkap.

Beliau berkata, pihak penganjur juga perlu melengkapkan permohonan mengikut masa ditetapkan berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Ujar beliau, semakan polis mendapati mereka (pihak penganjur) tidak mendapat kelulusan daripada pemilik premis lokasi perhimpunan itu akan diadakan.
Mengulas lanjut perhimpunan itu, Rusdi berkata, pihak polis akan bersiap siaga dan lebih 400 anggota serta pegawai akan ditugaskan pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!