MMA, Menteri Kesihatan bincang isu WBB

Dr Kalwinder (empat dari kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Dr Dzulkefly (tujuh dari kanan).
Dr Kalwinder (empat dari kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Dr Dzulkefly (tujuh dari kanan).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan pegawai kementerian bagi membincangkan isu berkaitan petugas penjagaan kesihatan dan kesihatan awam.

Presiden MMA, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata, antara isu dibincangkan adalah dasar Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang menyebabkan kekeliruan dan ketegangan dalam kalangan doktor dan doktor muda sepanjang minggu lalu.

Jelasnya, dengan maklum balas yang diterima daripada ahli persatuan dan doktor lain, MMA menerangkan secara terperinci alasan dan keraguan mengenai sebab doktor dalam sektor penjagaan kesihatan awam secara amnya tidak bersetuju dan enggan menyokong sistem tersebut.

Menurutnya, MMA mengakui niat di sebalik dasar yang dirancang itu tetapi menekankan keperluan untuk menangani kekurangan dan ketidakseimbangan pengagihan petugas penjagaan kesihatan dalam sistem sedia ada, sebelum sebarang sistem baharu dirancang.

“Mengenai isu sama, MMA turut mengulangi keperluan untuk membabitkan pihak berkepentingan termasuk MMA dalam peringkat perancangan sebelum pengenalan sebarang dasar baharu terutama apabila ia memberi impak kepada tenaga kerja penjagaan kesihatan dan penyampaian perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Dr Kalwinder turut memaklumkan, MMA juga mengulangi gesaan supaya kenaikan elaun ‘on call’ segera dilaksanakan secara menyeluruh untuk semua doktor yang berkhidmat dalam penjagaan kesihatan awam.

MMA ujarnya menekankan bahawa kenaikan itu mesti diberikan kepada semua doktor dan tidak dikaitkan dengan mana-mana sistem kerja tertentu dan sejak tahun lalu, doktor dalam perkhidmatan awam sentiasa berharap kerajaan menunaikan janji yang dibuat.

“MMA juga menekankan keperluan ketelusan dalam proses pemberian jawatan tetap kepada doktor kontrak.

“Kami menggesa proses pemilihan dijalankan dengan jelas dan adil. Maklumat mengenai kriteria pemilihan mesti diberikan kepada doktor ini supaya mereka tahu di mana kedudukan mereka dan apa yang diperlukan daripada mereka,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dr Kalwinder menambah, pihaknya juga membangkitkan mengenai isu Bayaran Insentif Wilayah (BIW) yang dikurangkan kepada jumlah yang jauh lebih rendah selepas pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

"MMA mahu ia diberikan perhatian bagi menjamin kesaksamaan elaun bagi doktor yang berkhidmat dalam kapasiti dan kemudahan sama dapat dikekalkan," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, MMA turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan perancangan untuk masa depan dan mahu memastikan bakat baharu berkembang di sekolah dan kolej perubatan supaya mereka mempunyai masa depan sebagai doktor terutama dalam sektor penjagaan kesihatan awam negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!