WBB bukan bela, tetapi buli petugas kesihatan - MPT Bersatu

SHAH ALAM - Cadangan pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) tidak dilihat seperti pendekatan yang membela kebajikan petugas kesihatan sebaliknya membuli golongan berkenaan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mohd Yadzil Yaakub mendakwa, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersikap ‘baling batu sembunyi tangan’ seolah-olah tercari-cari sokongan majoriti petugas kesihatan selepas mengeluarkan kenyataan mengenai WBB.
Menurutnya selaku pengamal perubatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diibaratkan sebagai ‘kambing hitam’ dan persetujuannya sekadar dijadikan alasan untuk pelaksanaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban itu turut mempersoalkan kewajaran berbuat demikian kerana ia mungkin merencatkan hasrat orang ramai untuk menceburi bidang kesihatan selepas ini.
“Libat urus sekadar syarat bukan untuk mendapatkan pandangan atau maklum balas, tetapi hanya mahu menjelaskan apa yang diputuskan dan bakal dilaksanakan.
“Setuju atau tidak hanya perlu dengar dan akhirnya dipaksa akur dengan apa yang ditetapkan. Waktu kerja dipendekkan, tetapi beban semakin bertambah dengan bayaran ‘on-call’ dinafikan.
“Mana yang dimaksudkan menteri untuk menjaga kebajikan petugas kesihatan? Sudahlah belajar susah, kerja susah, pendapatan pun tidak menarik,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Difahamkan, pelaksanaan WBB bertujuan mengurangkan keletihan dan meningkatkan kualiti hidup serta kebajikan petugas kesihatan.
Dr Dzulkefly memaklumkan, sistem itu mengurangkan tempoh bekerja ‘on-call’ aktif daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi kerja kakitangan.
Bagaimanapun, jelasnya, ia masih lagi dalam peringkat cadangan dan libat urus bersama pihak berkepentingan.
Dr Mohd Yadzil berpandangan, kekurangan petugas yang menjadi isu utama takkan selesai dengan WBB, malah ia akan melumpuhkan sistem perkhidmatan kesihatan negara jika dilaksanakan.
Tambahnya, ia akan membunuh keikhlasan dalam diri petugas kesihatan berikutan kerja keras mereka tidak dihargai.
“Justeru, saya menggesa KKM batalkan cadangan pelaksanaan WBB yang tidak memberi sebarang keuntungan kepada petugas kesihatan.
“Kebajikan perlu diutamakan agar mereka terus berkhidmat dengan ikhlas dan memberikan perkhidmatan kesihatan yang cemerlang.
“Toksikologi tidak akan faham kerja seorang doktor dan petugas kesihatan, hanya doktor yang faham kerja doktor,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!