Beban kerja tidak boleh dinilai ikut jam

SHAH ALAM - Beban kerja kakitangan kesihatan terutama yang bertugas secara klinikal di hospital tidak boleh dinilai berdasarkan jam bekerja.
Penasihat dan Pengasas Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris berkata, tempoh lapan jam bertugas di jabatan kecemasan berbeza dengan waktu kerja pejabat.
Menurutnya, tempoh bekerja perlu mengambil kira circadian rhythm atau kitaran waktu tidur manusia.
“Sebenarnya, tugasan di luar waktu bangun atau tidur normal manusia lebih membebankan.
“Jadual cuti pekerja yang bertugas di luar waktu kerja biasa juga menjejaskan waktu sosial mereka terutamanya golongan berkeluarga.
“Bagi saya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu lebih telus dan mengambil kira pelbagai sudut terutamanya kebajikan petugas kesihatan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, Waktu Bekerja Berlainan (WBB) iaitu sistem syif baharu untuk petugas kesihatan mampu mengurangkan keletihan selain meningkatkan kualiti hidup serta kebajikan golongan terbabit, namun ia masih di peringkat cadangan.
Jelasnya, pelaksanaan WBB dijangka dapat mengurangkan tempoh bekerja on-call daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi.
Tambah Dr Dzulkefly, ia juga dibuat bagi memastikan pegawai perubatan tidak bertugas melebihi 24 jam secara berterusan.
Mengulas lanjut, Dr Ahmad Firdaus berpandangan, KKM perlu mewujudkan satu suruhanjaya khas untuk petugas kesihatan awam bagi menangani isu berkenaan.
Ia kerana menurutnya, sektor perubatan memiliki beban kerja yang unik dan tidak sama seperti bidang lain.
“Perkara ini juga penting untuk mengawal dan membendung keluar masuk petugas kesihatan yang ditawarkan gaji tinggi serta kebajikan lebih baik di sektor swasta mahupun luar negara,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!