Selangor sokong SPRM siasat isu pindah milik tanah tidak sah

HULU SELANGOR - Selangor menanggung kerugian besar susulan isu pertindihan dan pindah milik tanah tidak sah di negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia selepas kerajaan negeri terpaksa menggantikan tanah dan membayar ganti rugi kepada pihak terbabit.
"Kerajaan negeri akui dalam tempoh beberapa tahun ini sebenarnya kita menanggung kerugian agak tinggi disebabkan isu pertindihan pemilikan ini.
"Ia susulan ada sebahagian tanah ini diurus niagakan. Justeru saya mengalu-alukan siasatan menyeluruh dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengelak kes sama berulang," katanya.p />
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pada Majlis Pelancaran Loji Hidrokuasa Kecil (SHP) Batang Kali di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas berkaitan tujuh Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang ditahan susulan kes pindah milik tanah tidak sah di Selangor.
Pada Selasa, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Datuk Dr Yusri Zakariah mengesahkan penahanan tersebut yang pegawai terbabit telah dipindahkan, sementara menunggu siasatan penuh dijalankan.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memaklumkan seramai 17 individu termasuk tujuh pegawai pejabat tanah ditahan berhubung kegiatan pindah milik tanah.
Kesemua mereka berusia lingkungan 33 hingga 57 tahun dan PDRM sedang mempergiat usaha mengesan individu lain yang disyaki terbabit dalam kegiatan itu.
Amirudin berkata, isu pemindahan pemilikan tanah secara tidak sah itu dikesan semasa penukaran sistem e-tanah.
"Ada pihak yang mengambil kesempatan daripada peralihan penukaran sistem lama ke sistem baharu.
"Dari situ mereka memasukkan nama dan menggabungkan hak milik tanah tidak sewajarnya. Ini dikesan di Klang sewaktu kemas kini sistem dilakukan," katanya.
Katanya, kerajaan negeri akan melihat ruang yang perlu diperbaiki dan terus melakukan penambahbaikan bagi mengelak menanggung kerugian berterusan disebabkan kes sedemikian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!