Kes pindah milik tanah: Tujuh kakitangan PDT Klang antara 17 ditahan

SHAH ALAM - Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) pada Selasa mengesahkan tujuh kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang merupakan antara 17 orang penjawat awam yang ditahan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di Selangor.
Datuk Dr Yusri Zakariah berkata, semua tujuh kakitangan terbabit sudah dipindahkan ke jabatan lain yang tidak melibatkan urusan berkaitan kerja tanah.

"Mereka diletakkan di jabatan yang tidak membabitkan kerja tanah sementara menunggu siasatan penuh dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya ketika diminta mengulas mengenai kakitangan PTGS yang didakwa terbabit dalam kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri upacara kawad bulanan penguatkuasaan dan pentadbiran tanah negeri Selangor di sini, Yusri berkata, siasatan dalaman yang dijalankan pihaknya mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika proses penukaran sistem lama ke sistem baharu, iaitu sistem e-Tanah.
Beliau berkata, PTGS juga bekerjasama rapat bersama pihak polis dengan memberi keterangan serta bukti bagi membantu siasatan.

"Buat semakan sekurang-kurangnya setahun sekali dengan membuat carian persendirian dan tolong pastikan nama di geran itu adalah nama kita," katanya.
Pada 10 Januari lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, seramai 17 individu termasuk tujuh penjawat awam dari sebuah PTG di Selangor berumur antara 26 hingga 59 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di pejabat berkenaan.

Ramli berkata, mereka yang ditahan secara berasingan sejak Sept lepas itu disyaki terbabit kartel pindah milik tanah, dengan tujuh kes disiasat membabitkan tanah seluas 21 ekar atau lebih 9.4 hektar dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM7.1 juta. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
