Tambah baik sistem, elak penipuan pindah milik tanah

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin mengenai isu pindah milik tanah tanpa pengetahuan pemilik asal.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin mengenai isu pindah milik tanah tanpa pengetahuan pemilik asal.
A
A
A

ISU pindah milik tanah secara tidak sah yang kerap dilaporkan membuktikan wujud kelemahan serius dalam sistem pentadbiran tanah di Malaysia.

Kes melibatkan pegawai Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan sindiket tertentu menunjukkan bagaimana jenayah ini dilakukan secara terancang melalui pemalsuan dokumen serta penyalahgunaan kuasa.

Salah satu punca utama adalah kebocoran maklumat dalam agensi kerajaan sendiri apabila pegawai yang mempunyai akses kepada data pemilik tanah menyalahgunakan kedudukan mereka untuk memudahkan pemindahan hak milik tanpa pengetahuan pemilik asal.

Ini menunjukkan wujudnya ketirisan dalam sistem pengurusan yang sepatutnya telus dan selamat.

Selain itu kelemahan dalam mekanisme pemantauan juga menjadi faktor penyumbang kerana sistem sedia ada tidak mempunyai lapisan keselamatan mencukupi untuk mengesan aktiviti mencurigakan.

Proses pindah milik yang hanya bergantung kepada dokumen bertulis tanpa pengesahan biometrik atau digital memudahkan penipuan berlaku.

Antara langkah penyelesaian yang boleh dilaksanakan kerajaan ialah segera memperketatkan sistem pendaftaran tanah dengan memperkenalkan teknologi moden seperti blockchain.

Teknologi ini membolehkan setiap transaksi direkodkan dengan selamat dan tidak boleh diubah oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran yang sah. Ini akan mengelakkan sebarang bentuk manipulasi data.

Di samping itu, keperluan untuk menambah baik mekanisme dua faktor pengesahan (2FA) dalam setiap urusan pindah milik tanah juga perlu dipertimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Pemilik sah seharusnya menerima notifikasi atau perlu memberikan persetujuan secara digital sebelum sebarang perubahan dalam hak milik dilakukan.

Dalam masa sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memperluaskan skop siasatan bagi membongkar lebih banyak kes seumpama ini.

Hukuman tegas terhadap pelaku jenayah ini akan menjadi pengajaran kepada pegawai lain agar tidak menyalahgunakan kuasa mereka.

Isu penipuan pindah milik tanah menuntut reformasi dalam sistem pentadbiran tanah negara bagi memastikan hak pemilik tidak sewenang-wenangnya dirampas melalui penipuan.

Tanpa pembaharuan menyeluruh, kes seumpama ini akan terus berlaku, merugikan rakyat dan mencemarkan integriti institusi kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!