KPDN sita gas LPG bersubsidi bernilai lebih RM23,000

KUALA LUMPUR - Kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) di sebuah kedai runcit di ibu kota terbongkar susulan serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Selasa.
Operasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berjaya merampas sebanyak 205 tong gas bersubsidi itu.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, operasi dijalankan pihaknya kira-kira jam 1 petang.
"Pemeriksaan menemukan sebanyak 205 tong LPG terdiri daripada 85 tong berkapasiti 12kg dan 120 tong berkapasiti 14kg.
"Selain itu, pemeriksaan turut mendapati kedai runcit terbabit merupakan pemegang lesen runcit barang kawalan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, premis perniagaan ini didapati memiliki dalam simpanan sebanyak 2,700kg lebihan had simpanan LPG yang dibenarkan.
"Semakan maklumat mendapati lesen runcit barang kawalan (LPG) yang dimiliki premis ini masih sah sehingga 25 Oktober 2025.
"Lebihan had simpanan LPG ini telah disita oleh pasukan penguat kuasa KPDN dan akan disiasat di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961 serta nilai rampasan dianggarkan RM23,930," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemegang lesen runcit ini mempunyai beberapa rekod kesalahan lain di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 semenjak 2018.
"Penelitian terperinci akan dibuat ke atas semua rekod kesalahan oleh pemegang lesen runcit barang kawalan (LPG) ini.
"Pengesyoran sewajarnya akan dibuat kepada pengawal bekalan serta siasatan turut dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

