Doktor Bangladesh palsu ditahan, 'klinik' di kedai makan, kedai runcit

Pasukan operasi khas JIM memeriksa premis yang dijadikan lokasi pengoperasian doktor palsu melibatkan warganegara Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto JIM
Pasukan operasi khas JIM memeriksa premis yang dijadikan lokasi pengoperasian doktor palsu melibatkan warganegara Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto JIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 10 lelaki warga Bangladesh yang menyamar sebagai doktor palsu dalam serbuan di 10 buah klinik di sekitar ibu negara pada Khamis.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan jam 11.45 pagi itu dijalankan pihak JIM bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi operasi khas di enam lokasi di Jalan Tun Tan Siew Sin, diikuti Leboh Pudu (dua lokasi) dan di Jalan Silang (satu lokasi).

Pasukan operasi khas JIM menyoal suspek yang dipercayai terlibat menyamar sebagai doktor selepas menyerbu 10 buah klinik di sekitar ibu negara pada Khamis. - Foto JIM
Pasukan operasi khas JIM menyoal suspek yang dipercayai terlibat menyamar sebagai doktor selepas menyerbu 10 buah klinik di sekitar ibu negara pada Khamis. - Foto JIM

Beliau berkata, operasi tersebut dijalankan oleh sepasukan pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat JIM Putrajaya dengan kerjasama pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa (Farmasi) KKM Kuala Lumpur serta Putrajaya.

"Berdasarkan aduan awam serta maklumat risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi premis perniagaan terlibat.

"Pasukan operasi berjaya menahan 10 orang lelaki warganegara Bangladesh yang berusia antara 31 hingga 50 tahun.

"Hasil semakan awal mendapati seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Sektor Perkhidmatan, enam orang memiliki PLKS Sektor Pembinaan, dua orang tinggal lebih masa manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pasukan operasi khas JIM memeriksa premis yang dijadikan lokasi pengoperasian doktor palsu melibatkan warganegara Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto JIM
Pasukan operasi khas JIM memeriksa premis yang dijadikan lokasi pengoperasian doktor palsu melibatkan warganegara Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto JIM

Operasi terbabit turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi JIM, Jafri Embok Taha, Pengarah Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Mohamad Anas Mohamad Dzarib, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mohd Zawawi Abdullah serta Timbalan Pengarah Cawangan Perisikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mohd Azaruddin Jais.

Artikel Berkaitan:

Menurut Zakaria, modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit melalui doktor warganegara Bangladesh yang tidak bertauliah dan menyasarkan warga Bangladesh sahaja.

Jelas beliau, ubat-ubatan yang dijual secara tidak berdaftar dan tanpa kelulusan KKM telah dibawa masuk oleh warganegara Bangladesh yang datang sebagai pelancong dengan bayaran sebanyak RM200 hingga RM500 setiap seorang.

Kata beliau, kegiatan tersebut berselindung di sebalik kedai makan atau kedai runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Bayaran rawatan dan penjualan ubat-ubatan yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM200 bagi setiap pelanggan warganegara Bangladesh.

"Sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama satu tahun,” ujarnya.

Pasukan operasi khas JIM memeriksa premis yang dijadikan lokasi pengoperasian doktor palsu melibatkan warganegara Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto JIM
Pasukan operasi khas JIM memeriksa premis yang dijadikan lokasi pengoperasian doktor palsu melibatkan warganegara Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto JIM

Dalam serbuan itu, kata beliau, pihaknya turut merampas peralatan doktor palsu, ubat-ubatan serta wang tunai berjumlah RM800 dipercayai daripada hasil rawatan dan penjualan ubat.

Selain itu menurutnya, pihak KKM turut merampas sebanyak 502 jenis ubat tidak berdaftar dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM265,192.

Tambahnya, kumpulan warganegara asing yang ditahan itu juga disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952, Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan bahan Psikotropik) 1989 dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

"Dua lelaki warganegara Bangladesh dan enam wanita tempatan diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!