Peniaga rugi lebih RM100,000 kedai runcit hangus

TUMPAT - Kelengkapan termasuk 11 peti sejuk, stok kurma dan barangan runcit bernilai lebih RM100,000 hangus dalam kebakaran di Kampung Kubang Batang di sini kira-kira jam 4 pagi Sabtu.
Pemilik kedai runcit, Zakaria Che Wail, 54, berkata, dia yang sedang tidur di rumahnya di Kampung Alor Pasir menerima panggilan telefon daripada penduduk yang memaklumkan kejadian kebakaran kedai itu sebelum bergegas ke lokasi sejauh lima kilometer.
Katanya, sebaik tiba, dia tergamam serta tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana api sedang menjulang membakar kedai berkenaan.

“Bomba tengah padam api yang marak ketika itu dan saya hanya mampu berserah.
“Dalam kedai ada lapan peti sejuk beku termasuk yang berisi ayam untuk dijual, tiga peti sejuk berisi minuman selain stok kurma bernilai RM30,000 untuk Ramadan ini turut hangus dengan keseluruhan kerugian dianggar lebih RM100,000,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Zakaria berkata, 230 pek makanan yang disediakan oleh badan bukan kerajaan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di sekitar Tumpat juga tidak dapat diselamatkan.
“Sebelum ini, saya dah agih 2,500 pek makanan dan yang hangus itu adalah pek bekalan persediaan untuk agihan seterusnya.
“Apa-apa pun saya tetap reda dan pada sama masih bersyukur kerana ada sebahagian kecil bekalan runcit seperti sabun pencuci pakaian bernilai RM4,000 terselamat daripada hangus,” katanya mengusahakan kedai runcit terbabit sejak tahun 2018.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Mohd Rafain Mat Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran itu pada 4.03 pagi.
Katanya, sebaik tiba pihak bomba mendapati tiada mangsa di dalam kedai terbabit.

“Bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 4.17 pagi dan melakukan operasi memadam kebakaran melibatkan kekuatan 17 anggota dari Tumpat, Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubur.
“Operasi pemadaman selesai dijalankan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

