PGA, KPDN rampas baja bernilai lebih RM500,000 kilang tidak berlesen

Jegan (kiri) ketika melakukan pemeriksaan dalam kilang memproses baja di Permatang Saga, Pinang Tunggal pada Khamis.
Jegan (kiri) ketika melakukan pemeriksaan dalam kilang memproses baja di Permatang Saga, Pinang Tunggal pada Khamis.
A
A
A

KEPALA BATAS - Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya membongkar kilang baja tidak berlesen di kawasan Permatang Saga, Pinang Tunggal di sini pada Rabu.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hasim berkata, serbuan dibuat hasil risikan selama seminggu terhadap premis yang memproses baja pertanian tanpa lesen sah.

Menurutnya, ketika serbuan dibuat seorang lelaki berusia 71 tahun yang mengaku sebagai pemilik perniagaan itu telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah besar baja dan peralatan pembungkusan serta penghasilan baja berada di premis tersebut sebelum kes diserahkan kepada KPDN Pulau Pinang untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan pada Khamis.

Shahrum melihat baja yang diproses di kilang terbabit.
Shahrum melihat baja yang diproses di kilang terbabit.

Hadir sama, Pengarah KPDN Pulau Pinang, RS Jegan.

Jegan berkata, premis tersebut dipercayai menjalankan aktiviti penjualan baja secara borong tanpa lesen sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dibuat pihaknya merampas pelbagai jenis baja termasuk baja jumbo seberat 700 kilogram (kg), 60 beg baja sebatian dan 91 beg baja sebatian NPK dengan jumlah berat keseluruhan baja adalah 169,440kg bernilai RM508,470.

Artikel Berkaitan:

"Pelbagai peralatan seperti mesin pembungkusan, mesin pengisar, mesin pengadun, mesin pemampat, mesin pemindah baja dan alat timbang turut dirampas, bersama guni kosong pelbagai jenis.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk peralatan adalah RM541,222," katanya lagi.

Jegan (tengah) menunjukkan kepada Shahrum baja yang siap diproses.
Jegan (tengah) menunjukkan kepada Shahrum baja yang siap diproses.

Jegan berkata, tindakan penyitaan juga dilakukan terhadap beberapa dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

Jika disabit kesalahan denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM 3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!