Bawa bayi lapan bulan timba ilmu kemahiran gunting rambut

Jaslyanna Helda (dua dari kanan) mendengar taklimat berkaitan teknik yang betul untuk menggunting rambut.
Jaslyanna Helda (dua dari kanan) mendengar taklimat berkaitan teknik yang betul untuk menggunting rambut.
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun terpaksa membawa bayi yang baru berusia lapan bulan mengikuti kursus, namun ia tidak mematahkan semangat buat seorang pemilik salon menambah ilmu kemahiran menggunting rambut.

Menurut Jaslyanna Helda Jasini, 38, dia akan meletakkan bayinya, Aryan Rizqy di dalam kereta sorong sementara dia menimba ilmu sebagai tukang gunting rambut lelaki sebagai persediaan menambah cabang perniagaannya.

Peniaga yang berasal dari Sabah itu mengakui tidak mempunyai pengasuh dan lebih senang membawa anaknya bersama termasuk ketika bekerja.

"Alhamdulillah, Aryan Rizqy tidak meragam dan saya hanya perlu menyediakan susu dan mendukungnya ketika mahu tidur," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Katanya lagi, perkara itu sudah menjadi kebiasaan membawa Aryan Rizqy bersama berikutan suami, Nas Haidir Ab Aziz, 37, juga bekerja.

Jaslyanna Helda (dua dari kanan) bersama peserta Kursus Gunting Rambut Lelaki Bersama Top Barber Kelantan Munif Barber Academy pada Rabu.
Jaslyanna Helda (dua dari kanan) bersama peserta Kursus Gunting Rambut Lelaki Bersama Top Barber Kelantan Munif Barber Academy pada Rabu.

Jaslyanna Helda mendapat tahu kursus berkenaan melalui Facebook Persatuan Penggunting Rambut Kelantan mendaftarkan diri untuk menyertainya.

"Sebelum ini saya mempunyai kedai menggunting rambut lelaki selama dua tahun tetapi terpaksa ditutup selepas berlaku masalah pekerja.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya berhasrat membuka semula kedai itu tetapi perlu banyak belajar sebagai persediaan jika berlaku masalah sama," katanya.

Program Kursus Gunting Rambut Lelaki Bersama Top Barber Kelantan Munif Barber Academy merupakan anjuran bersama Pejabat Belia dan Sukan Negeri Kelantan.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Bachok, Abdillah Muhamad, 16, pula menyertai kursus itu selepas namanya didaftarkan oleh ibunya, Nur Amily Zulkifli, 43.

Abdillah
Abdillah

"Ibu memang tahu saya minat menggunting rambut dan menjadikannya sebagai sumber rezeki tambahan untuk menampung persekolahan," katanya.

Anak kepada pasangan guru itu juga memberitahu hanya menggunting rambut pada hari cuti umum di rumahnya kerana tinggal di asrama.

Abdillah mempunyai peralatan menggunting rambut yang lengkap dan sentiasa mendapat sambutan daripada rakan-rakan dan penduduk kampung.

"Kursus ini dapat memberikan banyak pengetahuan serta teknik baharu yang betul untuk saya praktikkan selepas ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penggunting Rambut Kelantan, Suhaila Jusoh berkata, seramai 40 peserta berusia antara 16 hingga 38 tahun menyertai kursus berkenaan.

Suhaila
Suhaila

Menurut Suhaila, tujuan utama kursus ialah mempromosi produk dan servis usahawan belia kepada masyarakat dan pasaran tempatan.

"Kita juga mempunyai hasrat supaya lebih ramai orang muda menyertai bidang ini kerana mampu menjana pendapatan selain sekali gus mengurangkan masalah sosial membabitkan usia belia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!