[VIDEO] Pengasuh didakwa sebabkan kematian bayi sembilan bulan

A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menganiaya seorang bayi berusia sembilan bulan sehingga menyebabkan kematiannya bulan lalu.

Tertuduh, Chia Muy Hoong, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut kertas pertuduhan, Muy Hoong sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang bayi lelaki berumur sembilan bulan dengan menyebabkan kecederaan pada bahagian belakang kiri kepala sehingga membawa kepada kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah Jalan Intan 4, Taman Intan Jaya, Mersing antara 6 Disember hingga 12 Januari lalu.

Muy Hoong (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Rabu.
Muy Hoong (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Rabu.

Pendakwaan dibuat bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Selain itu mahkamah boleh memerintahkan menyempurnakan suatu bon dengan penjamin bagi berkelakuan baik dalam tempoh dan syarat ditetapkan mahkamah dan menjalani khidmat masyarakat.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid mencadangkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu lapor diri di balai polis dan larangan mengganggu mana-mana saksi terutama keluarga mangsa.

Bagaimanapun Peguam Amy Law Siew Tin yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dibenarkan jamin dengan jumlah yang rendah kerana tertuduh merupakan menanggung keluarga dan menjaga suami yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Artikel Berkaitan:

Muy Hoong (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Rabu.
Muy Hoong (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Rabu.

"Pekerjaan utama tertuduh hanya mengasuh kanak-kanak dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang itu. Tertuduh juga tidak mempunyai rekod jenayah dan ini adalah pertuduhan pertamanya.

"Memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan terhadap tertuduh dengan jumlah yang mampu dibayar iaitu RM5,000," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, lapor diri sekali setiap bulan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Mersing dan dilarang mengganggu mana-mana saksi terutama keluarga mangsa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 24 Februari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!