Kerajaan perlu teliti semula sistem WBB - Pemuda Pas

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mengambil tindakan memperbaiki kaedah keterlibatan dengan doktor secara langsung bagi memudahkan urusan pelaksanaan model waktu bekerja baharu (WBB) dijalankan.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, meskipun objektif awal pelaksanaan WBB adalah untuk mengurangkan beban kerja dan meningkatkan keseimbangan hidup serta kerja, namun pelbagai isu yang timbul menunjukkan bahawa polisi tersebut memerlukan penelitian semula secara mendalam.
“Pemuda Pas menerima maklum bahawa sesi Townhall yang diadakan baru-baru ini tidak mencapai objektif kerana tidak menyediakan ruang dialog mencukupi dan soalan kritikal tidak diberi perhatian sewajarnya.
“Proses ini harus diulang dengan penyertaan lebih meluas dengan melibatkan pegawai perubatan junior (MO) dan pakar-pakar,” katanya katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, cadangan pelaksanaan WBB untuk petugas kesihatan akan dibincang dalam pemukiman Kementerian Kesihatan (KKM) selama tiga hari sehingga 19 Januari ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia memberi tumpuan kepada isu sumber manusia, peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan serta agihan petugas kesihatan yang tidak seimbang.
Dalam pada itu, Afnan Hamimi berkata, isu mengenai kadar elaun ‘on call’ tidak sekata dan penetapan tidak adil berlaku antara unit mengamalkan atau tidak mengamalkan WBB adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Selain itu, kadar bayaran RM9 per jam jelas tidak setimpal dengan intensiti dan risiko kerja doktor ibarat satu penghinaan kepada pengorbanan mereka. Elaun ‘on call’ mesti dinaikkan segera tanpa perlu menunggu berlakunya perubahan model kerja,” ujarnya.
Menurut beliau, pihaknya mengingatkan bahawa kebajikan doktor bukan sekadar isu teknikal tetapi juga melibatkan aspek moral dan etika.
Jelasnya, kebajikan penjawat awam terutama doktor adalah tanggungjawab kerajaan yang tidak boleh diabaikan.
“Sebagai petugas barisan hadapan yang berkhidmat tanpa henti untuk rakyat dan negara, kebajikan serta keadilan untuk para doktor kerajaan mesti menjadi keutamaan. Kerajaan tidak boleh sekadar mematuhi pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa memahami realiti tugas para doktor jauh berbeza dengan sektor awam lain.
“Pemuda Pas menggesa Menteri Kesihatan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk segera mengambil tindakan proaktif dalam isu ini demi kesejahteraan serta masa depan sektor kesihatan negara yang lebih baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!