Mayat bergelimpangan di Gaza

Kawasan kejiranan di bandar selatan Rafah antara yang musnah teruk akibat dibedil Zionis.
Kawasan kejiranan di bandar selatan Rafah antara yang musnah teruk akibat dibedil Zionis.
A
A
A

GENTING GAZA - Pada hari pertama yang tenang di Gaza pada Isnin, pasukan penyelamat dan orang awam mula melancarkan operasi menggali di bawah runtuhan struktur dan hampir 100 mayat sudah ditemui.

Agensi Pertahanan Awam berkata, usaha kini dipergiatkan untuk menjejaki lebih 10,000 mayat yang dipercayai tertimbus.

Jurucakapnya, Mahmoud Basal berkata, mereka berharap dapat menyelesaikan operasi itu dalam tempoh 100 hari meskipun ia agak mustahil kerana berdepan kekangan peralatan penting termasuk jengkaut.

Meskipun hujan peluru sudah berhenti, pasukan penyelamat kini berdepan tugas sukar untuk mengeluarkan jasad di bawah sisa runtuhan termasuk mayat bayi yang sudah mereput.

“Mayat ada di mana-mana, di setiap kawasan kejiranan dan celah-celah struktur yang musnah dibedil.

“Walaupun gencatan senjata sudah berkuat kuasa, kami masih menerima panggilan daripada penduduk Gaza yang meminta bantuan kerana ada ahli keluarga mereka yang tertimbus,” kata anggota Pertahanan Awam di Bandar Gaza, Abdullah al-Majdalawi.

Sebelum ini pihak berkuasa kesihatan Palestin menganggarkan lebih 46,900 terkorban dan sebahagian besar daripadanya ialah wanita serta kanak-kanak.

Kajian oleh penyelidik berpusat di Britain dan diterbitkan jurnal The Lancet baru-baru ini juga percaya angka kematian sebenar adalah lebih 40 peratus daripada data tersedia.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini ribuan penduduk Gaza juga sudah kembali ke kampung halaman masing-masing walaupun rumah mereka sudah musnah.

Youssef, 22, dari Bandar Gaza antara yang pulang semula ke kawasan kediamannya di Beit Lahia.

“Kawasan itu seperti dilanda gempa berkekuatan 9.0 skala Richter.

“Tiada lagi struktur yang tinggal dan hanya runtuhan bangunan serta mayat bergelimpangan di sana sini,” katanya yang terpaksa berpatah balik ke Bandar Gaza.

Jelasnya, dia hanya akan pulang ke Beit Lahia dan memulakan hidup baharu apabila keadaan sudah selamat untuk didiami.

Umm Saber, 48, ibu tunggal enam anak dari utara Gaza juga berkongsi kisah mengerikan yang sama.

“Ada mayat yang terbiar selama beberapa minggu. Jiran-jiran mula menggali untuk mencari mayat ahli keluarga mereka.

“Ada juga yang membersihkan kawasan untuk mendirikan khemah,” katanya. - Agensi

Info:

Gaza masih terbahagi kepada dua oleh Koridor Netzarim yang terletak di selatan Bandar Gaza. Pasukan Pertahanan Israel (IDF) tidak akan berundur sehingga hari ketujuh pelaksanaan tempoh bertenang itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!