Kanak-kanak Palestin dibunuh penembak tepat Israel

Seorang kanak-kanak lelaki Palestin berdiri di atas runtuhan bangunan di kawasan kejiranan yang musnah di bandar selatan Gaza, Rafah pada Isnin, ketika penduduk kembali selepas perjanjian gencatan senjata bermula pada Ahad. (Foto oleh Eyad BABA / AFP)
Seorang kanak-kanak lelaki Palestin berdiri di atas runtuhan bangunan di kawasan kejiranan yang musnah di bandar selatan Gaza, Rafah pada Isnin, ketika penduduk kembali selepas perjanjian gencatan senjata bermula pada Ahad. (Foto oleh Eyad BABA / AFP)
A
A
A

GAZA - Tentera Israel membunuh seorang kanak-kanak dan mencederakan seorang lagi pada petang Isnin di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza, walaupun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada pagi Ahad.

Memetik laporan agensi berita Wafa, sumber tempatan mengesahkan bahawa Zakariya Hameed Yahya Barbakh terbunuh berhampiran bulatan Al-Awda di tengah Rafah selepas ditembak oleh penembak tepat Israel.

Seorang lagi kanak-kanak cedera ketika cuba melindungi mayat Barbakh.

Pada hari sama, seorang orang awam dan seorang kanak-kanak terbunuh dan sembilan yang lain termasuk kanak-kanak cedera akibat tembakan Israel di bandar Rafah.

Perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 11:15 pagi (waktu tempatan) pada Ahad bagaimanapun, pelanggaran perjanjian oleh tentera pendudukan terus meragut nyawa orang awam di Gaza.

Pada hari pertama gencatan senjata, 90 warga Palestin dari penjara Israel di Tebing Barat dibebaskan pada awal pagi Isnin, di bawah pertukaran tahanan pertama perjanjian gencatan senjata Hamas-Israel.

Kepulangan kumpulan itu yang dibawa bas Palang Merah pada jam 1 pagi (waktu tempatan) disambut tangisan kegembiraan ribuan penduduk Palestin khususnya ahli keluarga mereka yang setia menanti di bandar Beitunia dan Ramallah.

Pembebasan itu melibatkan 69 wanita dan 21 remaja serta kanak-kanak lelaki yang berasal dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Artikel Berkaitan:

Antaranya ialah Khalida Jarrar, 62, yang mengetuai gerakan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP) yang ditahan selama enam bulan di sel bersendirian di bawah penahanan pentadbiran iaitu hukuman kontroversi yang membolehkan pihak berkuasa Israel memenjarakan suspek tanpa mengenakan sebarang dakwaan atau menunggu keputusan mahkamah.

Pada hari pertama gencatan senjata berkuatkuasa, sebanyak 630 trak yang membawa bantuan kemanusiaan dilapor telah memasuki Gaza.

Gencatan senjata selama 42 hari antara Israel dan Hamas bertujuan untuk membolehkan bantuan masuk ke Gaza selepas 15 bulan berdepan perang.

Memasuki hari kedua, lebih 900 trak yang membawa bantuan kemanusiaan memasuki Gaza, melebihi sasaran harian yang ditetapkan dalam perjanjian berkenaan.

Perjanjian gencatan itu memerlukan 600 trak untuk menyeberang ke Gaza setiap hari.

Sepanjang konflik di Gaza, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam halangan yang menyekat aliran dan pengagihan bantuan ke wilayah Palestin yang dilanda bencana.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!