6 syarikat berkaitan Sarah Ferguson ditutup selepas nama dipetik dalam Fail Epstein

LONDON - Enam syarikat yang dikaitkan dengan bekas Duchess of York, Sarah Ferguson dalam proses penutupan, menurut dokumen yang difailkan kepada Companies House.
Memetik laporan BBC News pada Selasa, Ferguson merupakan pengarah bagi kesemua enam perniagaan tersebut yang dijadualkan akan dipadam daripada daftar dalam tempoh sepuluh hari, melainkan ada alasan undang-undang dikemukakan untuk menghalangnya.
Aktiviti syarikat-syarikat itu didakwa tidak dijelaskan dengan lebih lanjut, namun ada daripadanya berkaitan perhubungan awam dan satu lagi sektor runcit.
Bagaimanapun, tiada yang kelihatan aktif secara komersial.
Penutupan berlaku susulan pendedahan lanjut daripada 'Epstein Files' yang mencadangkan bekas isteri Andrew Mountbatten-Windsor itu pernah memberitahu pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein tentang keadaan terdesaknya berhubung masalah kewangan.
Pertukaran e-mel antara Ferguson dan Epstein menunjukkan beliau meminta nasihat kewangan daripadanya tentang cara menangani hutang berjumlah £6 juta ketika lelaki itu masih dipenjara kerana mendapatkan khidmat pelacuran daripada gadis bawah umur.
Tersenarai dalam 'Epstein Files' bukanlah petunjuk salah laku, kata jurucakap Ferguson semasa dihubungi pemberita untuk mendapatkan komen.
Syarikat-syarikat yang bakal ditutup ialah S Phoenix Events, Fergie’s Farm, La Luna Investments, Solamoon Ltd, Philanthrapreneur Ltd dan Planet Partners Productions Ltd yang mana kesemuanya tidak mempunyai profil awam.
Senarai bagi lima daripada enam syarikat menyatakan terdapat 'permohonan untuk memadam syarikat daripada daftar'.
Ini bermakna syarikat itu akan berhenti beroperasi dan tidak lagi wujud.
Syarikat keenam, S Phoenix Events, yang turut mencatatkan penerimaan permohonan pemadaman, menyenaraikan Ferguson sebagai individu yang mengesahkan permohonan tersebut bagi pihak syarikat.
Ferguson turut disenaraikan sebagai pengarah aktif bagi tiga lagi perniagaan berdaftar dengan Companies House.
Antaranya, Ginger and Moss yang ditubuhkan sebagai jenama gaya hidup menjual teh, barang kemas dan barangan rumah; Coat, sebuah perniagaan 'aktiviti penerbitan filem' serta Librasol, diklasifikasikan di bawah 'penciptaan artistik' dalam daftar rasmi syarikat persendirian.
Semua syarikat yang sedang dibubarkan itu ditubuhkan lebih sedekad lalu.
Kebanyakannya dikategorikan sebagai 'syarikat dorman' dengan aktiviti komersial terkini yang sangat sedikit atau tiada langsung dilaporkan.
Ferguson ialah satu-satunya pengarah yang masih ada bagi kesemuanya.
Lewat tahun lalu, dokumen menunjukkan beliau menyerahkan perubahan rasmi butiran bagi semua firma tersebut daripada Sarah Duchess of York kepada Sarah Margaret Ferguson.
Kesukaran kewangan Ferguson telah dilaporkan selama bertahun-tahun, namun penerbitan fail surat-menyurat Epstein mendedahkan sejauh mana tekanan yang dihadapinya.
Salah satu fail mencadangkan beliau memberitahu Epstein bahawa dirinya hampir 'hilang kawalan kerana keletihan' ketika lelaki itu masih dalam tahanan di Florida termasuk kebergantungannya terhadap sokongan emosi.
Ringkasan AI
- Enam syarikat berkaitan bekas Duchess of York, Sarah Ferguson, dalam proses ditutup
- Ferguson merupakan pengarah bagi kesemua enam syarikat tersebut
- Aktiviti syarikat-syarikat itu berkaitan perhubungan awam dan sektor runcit, namun tiada yang aktif secara komersial
- Penutupan berlaku susulan pendedahan 'Epstein Files' yang mengaitkan Ferguson dalam masalah kewangan
- Ferguson disenaraikan sebagai pengarah aktif bagi tiga lagi perniagaan - Ginger and Moss, Coat, dan Librasol
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

