Air mata sambut kepulangan

Penduduk Palestin melaungkan slogan kemenangan ketika menyambut kepulangan 90 tahanan. - Foto: AFP
Penduduk Palestin melaungkan slogan kemenangan ketika menyambut kepulangan 90 tahanan. - Foto: AFP
A
A
A

RAMALLAH - Suasana penuh emosi mengiringi pembebasan 90 warga Palestin dari penjara Israel di Tebing Barat pada awal pagi Isnin, di bawah pertukaran tahanan pertama perjanjian gencatan senjata Hamas-Israel yang berkuat kuasa pada Ahad.

Kepulangan kumpulan itu yang dibawa bas Palang Merah pada jam 1 pagi (waktu tempatan) disambut tangisan kegembiraan ribuan penduduk Palestin khususnya ahli keluarga mereka yang setia menanti di bandar Beitunia dan Ramallah.

Pembebasan itu melibatkan 69 wanita dan 21 remaja serta kanak-kanak lelaki yang berasal dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Antaranya ialah Khalida Jarrar, 62, yang mengetuai gerakan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP) yang ditahan selama enam bulan di sel bersendirian di bawah penahanan pentadbiran iaitu hukuman kontroversi yang membolehkan pihak berkuasa Israel memenjarakan suspek tanpa mengenakan sebarang dakwaan atau menunggu keputusan mahkamah.

Penduduk Palestin mengerumuni bas yang membawa kumpulan pertama tahanan dibebaskan Israel. - Foto: AFP
Penduduk Palestin mengerumuni bas yang membawa kumpulan pertama tahanan dibebaskan Israel. - Foto: AFP

Selain itu, wartawan Palestin, Bushra al-Tawil yang dipenjarakan sejak Mac 2024 turut dibebaskan di bawah kumpulan pertama itu.

Menurut Bushra, perjalanan mereka untuk bebas dari penjara Israel bermula seawal jam 3 pagi pada Ahad apabila dia dibawa ke pusat tahanan lain dan dikumpulkan bersama tahanan yang lain.

“Penantian itu amat sukar. Tetapi, syukur ke hadrat ALLAH kerana memberi keyakinan kepada kami dan akhirnya dibebaskan,” katanya sambil menambah bapanya juga akan dilepaskan tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Bandar Ramallah riuh-rendah dengan suara penduduk yang turut melaungkan slogan kemenangan sambil membawa bendera gerakan Fatah, Hamas, Jihad Islam dan kumpulan pejuang bumi Palestin yang lain.

Keluarga bersatu semula

Amanda Abu Sharkh, 23, yang menyambut kepulangan mereka juga mahu berkongsi momen gembira bersama keluarga tahanan tersebut.

“Kami sudah seperti sebuah keluarga. Mereka adalah sebahagian daripada kami meskipun tidak mempunyai pertalian darah,” ujarnya.

Bagi Muhammad, 20, yang dibebaskan dari Penjara Ofer, baru-baru ini, dia mahu menyaksikan sendiri detik bersejarah itu.

“Ia adalah saat yang amat membahagiakan apabila ahli keluarga yang terpisah dapat bersatu semula,” tambahnya.

Bapa saudara kepada banduan Palestin berusia 17 tahun, Qassem Jaafra mencium dahinya sebaik tiba di rumahnya di kejiranan Silwan di timur Baitulmaqdis selepas dibebaskan pada awal pagi Isnin bersama 90 banduan Palestin yang lain. Foto: AFP
Bapa saudara kepada banduan Palestin berusia 17 tahun, Qassem Jaafra mencium dahinya sebaik tiba di rumahnya di kejiranan Silwan di timur Baitulmaqdis selepas dibebaskan pada awal pagi Isnin bersama 90 banduan Palestin yang lain. Foto: AFP

Perjanjian pertukaran tahanan itu adalah yang pertama sejak kali terakhir dilaksanakan ketika tempoh bertenang pada November 2023.

Di bawah fasa pertama, Hamas dijangka membebaskan seramai 33 tawanan dalam tempoh 42 hari akan datang dan pembebasan seterusnya adalah pada Sabtu ini.

Baki 26 tahanan pula akan dibebaskan dalam tempoh lima minggu akan datang.

Israel pula dikatakan bersetuju membebaskan kira-kira 737 tahanan Palestin walaupun angka sebenar tidak diketahui.

Sementara itu, Hamas mengesahkan tiga wanita Israel yang berusia dalam lingkungan pertengahan 20-an dan awal 30-an telah dibebaskan kira-kira tujuh jam sebelum itu.

“Mereka diserahkan kepada Jawatankuasa Antarabangsa untuk Palang Merah sebelum dibawa kepada pos Pasukan Pertahanan Israel dan Agensi Keselamatan Israel di Genting Gaza,” kata jurucakapnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!