Harapan baharu buat Gaza

Kemusnahan akibat serang 15 bulan Zionis ke atas Gaza. - Foto: AFP
Kemusnahan akibat serang 15 bulan Zionis ke atas Gaza. - Foto: AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Israel telah membebaskan 90 tahanan Palestin terdiri daripada wanita dan remaja pada hari pertama perjanjian gencatan senjata yang bermula setakat awal pagi Isnin.

Antara yang dibebaskan termasuk seorang ahli politik dan pemimpin Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP) di Tebing Barat yang diduduki Israel iaitu Khalida Jarrar.

Khalida sebelum ini dipenjarakan oleh pihak berkuasa Israel beberapa kali atas tuduhan termasuk hasutan berkaitan kenyataan awamnya mengenai pendudukan Israel.

Pembebasan ini adalah sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang dicapai dengan usaha perantaraan Mesir dan Qatar bersama Amerika Syarikat.

Seorang lelaki duduk di atas kerusi rehat di atas bangunan yang rosak teruk di sepanjang Jalan Saftawi di Jabalia di utara Semenanjung Gaza sehari selepas perjanjian gencatan senjata dalam perang antara Israel dan Hamas berkuat kuasa. - Foto: AFP
Seorang lelaki duduk di atas kerusi rehat di atas bangunan yang rosak teruk di sepanjang Jalan Saftawi di Jabalia di utara Semenanjung Gaza sehari selepas perjanjian gencatan senjata dalam perang antara Israel dan Hamas berkuat kuasa. - Foto: AFP

Rakyat Gaza kini lega kerana perjanjian itu mampu menghentikan perang selama lebih 15 bulan di Gaza yang telah mengakibatkan lebih 46,000 nyawa penduduk Palestin terkorban.

Buat masa ini gencatan senjata ini dijangka berlaku dalam tiga peringkat dengan peringkat pertama berlangsung selama enam minggu, menyaksikan gencatan senjata penuh dan lengkap.

Hamas akan membebaskan 33 tahanan sebagai pertukaran untuk ratusan tahanan Palestin manakala Israel akan membebaskan tiga tebusan serta-merta dengan baki pertukaran berlangsung selama enam minggu ini.

Artikel Berkaitan:

Semasa peringkat ini, tentera Israel akan menarik diri dari semua kawasan berpenduduk di Gaza dan rakyat Palestin boleh kembali ke kawasan kejiranan mereka di semua kawasan Gaza.

Malah ribuan mangsa perang kezaliman Israel itu bersyukur apabila penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza juga sudah dibenarkan masuk.

Peringkat kedua akan menjadi pengakhiran kekal kepada perang dengan baki tebusan yang masih hidup, termasuk lelaki akan dibebaskan sebagai balasan kepada lebih banyak tahanan Palestin.

Daripada 1,000 tawanan Palestin, Israel dianggap telah bersetuju untuk membebaskan secara keseluruhan, kira-kira 190 tahanan sedang menjalani hukuman 15 tahun atau lebih selain pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.

Peringkat ketiga dan terakhir akan melibatkan pembinaan semula Gaza, sesuatu yang boleh mengambil masa bertahun-tahun dan pemulangan mana-mana mayat tebusan yang masih ada.

Seorang wanita dan kanak-kanak menumpang sebuah trak pikap bersama muatan barangan yang bergerak di sepanjang Jalan Saftawi di Jabalia di utara Semenanjung Gaza sehari selepas perjanjian gencatan senjata dalam perang antara Israel dan Hamas berkuat kuasa. - Foto: AFP
Seorang wanita dan kanak-kanak menumpang sebuah trak pikap bersama muatan barangan yang bergerak di sepanjang Jalan Saftawi di Jabalia di utara Semenanjung Gaza sehari selepas perjanjian gencatan senjata dalam perang antara Israel dan Hamas berkuat kuasa. - Foto: AFP

Pembebasan tahanan ini disambut dengan kegembiraan oleh rakyat Palestin apabila ratusan orang berkumpul meraikan kepulangan ahli keluarga masing-masing dengan mengibarkan bendera dan melaungkan slogan.

Namun, kegembiraan ini turut disertai dengan kesedihan mengenangkan penderitaan yang masih dialami penduduk Gaza akibat konflik yang berpanjangan.

Apa yang pasti gencatan senjata ini memberikan peluang untuk memulakan rundingan damai yang lebih kukuh sekali gus menjadi titik tolak bagi Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan hak mereka di pentas antarabangsa.

Kesimpulannya keamanan dan keadilan di Gaza diharap selepas ini akan lebih terjamin dengan dunia Islam perlu memberi tumpuan kepada isu kemanusiaan, hak asasi manusia dan penyelesaian konflik jangka panjang di rantau berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!