X

Kindly register in order to view this article
!

Guru besar didakwa terima rasuah

Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6,918.
A
A

KUANTAN - Guru besar di sebuah sekolah rendah di Cameron Hinglands didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6,918 pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Sahrum Ayumi Yusoff, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Tertuduh yang menetap di Mersing didakwa dengan tiga tuduhan iaitu sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan Tanah Rata, Cameron Hinglands telah mendapatkan dirinya suatu benda berharga dengan tiada balasan iaitu wang berjumlah RM6,918 daripada Zainal Muhammad melalui akaun Maybank milik tertuduh.

Suapan itu didakwa diterima tertuduh sebagai imbuhan untuk kelulusan tender pembekalan makanan di sekolah itu yang diketahui ada hubungan rasmi dengan tugasnya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan oleh tertuduh di Maybank Islamik Berhad cawangan Kuala Rompin, No 21 dan 22 Jalan Utama, Bandar Rompin, antara 16 Ogos hingga 17 Disember 2018.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau dengan denda atau kedua- duanya sekali, jika dapati bersalah.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar ikat jamin dikurangkan atas alasan isteri tidak bekerja dan seorang anaknya masih bersekolah serta mempunyai komitmen bulanan yang tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes disebut semula 6 April depan.