Apakah azam untuk kurus, sihat sudah lebur?

TIGA minggu sudah berlalu bagi tahun 2025 dan Merak Jalanan melihat ramai kawan-kawan mula ‘terlupa’ dengan azam tahun baru untuk kurus dan sihat.
Jika diimbas kembali, bermula awal tahun, ramai yang bawa bekal makanan sihat ke pejabat yang mengandungi banyak sayur dan buah-buahan.
Namun hari demi hari, suasana positif tersebut mula berubah apabila Merak Jalanan melihat pelbagai program atau acara yang dihadiri menyediakan pelbagai juadah makanan yang lazat untuk disantap.
Itu belum dikira pelbagai promosi kedai makan dan restoran yang sering muncul dalam media sosial.
Maka, azam untuk kurus dan sihat itu jadilah seperti tahun-tahun sebelumnya, tersemat di lubuk jiwa paling dalam.
Merak Jalan pernah bertemu dengan pakar diet sebelum ini dan nasihatnya, makanlah untuk hidup dan bukan hidup untuk makan.
Katanya, bukanlah langsung tidak boleh makan makanan yang mengikut selera, namun perlulah beringat dan berhati-hati selain tidak ambil makanan yang tinggi kalori dan gula setiap masa.
Bukan tidak boleh makan nasi kandar bersama lauk-pauk dan kuah kari banjir, namun berpada-padalah atau mungkin seminggu sekali pada hari cheat day, cadangnya pakar itu.
Hari lain kembali dengan mengambil makanan yang sihat seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu suku-suku separuh dengan bahagian separuh itu adalah sayur-sayuran dan buah-buahan manakala suku yang lain itu adalah untuk karbohidrat dan protein.
Air ada pasang surutnya, iman juga ada naik turunnya. Begitu juga dengan makanan, ada manis pahitnya, sering kali kita mahukan yang manis-manis ketika makan. Namun makanan yang manis itulah yang boleh mengancam kesihatan kita.
Kembalilah kepada tabiat makan makanan sihat selain kerap bersenam agar matlamat untuk kurus dan sihat dapat dikecapi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!