Dulu PKR turun ke jalanan, sekarang sekat kebebasan: Muda

Ahmad Zarul Afiq
Ahmad Zarul Afiq
A
A
A

KUANTAN - Pimpinan Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Ahmad Zarul Afiq Arifudin mempersoalkan perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilihat berbeza berbanding dahulu.

Menurutnya, PKR yang dulunya lahir daripada perjuangan jalanan kini beralih menjadi benteng yang menghalang suara demokrasi.

"Dulu turun ke jalan dengan laungan perjuangan, menuntut keadilan dan kebebasan bersuara.

"Kini, mereka menyekat kebebasan yang diperjuangkan oleh mereka sendiri. Apakah derita yang mereka alami dahulu telah dilupakan?

"Atau kuasa telah menjadikan mereka sebahagian daripada sistem yang dulu mereka lawan?" soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Hantaran itu dipercayai sebagai kenyataan balas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang sebelum ini memaklumkan Himpunan Antirasuah perlu meminta izin kawasan awam.

Mengulas lanjut beliau yang juga pemangku Pengerusi Muda Pahang berkata, demokrasi yang pernah dipertahankan PKR kini diuji dan mempersoalkan sama ada ia hak rakyat atau hanya mainan di bibir sahaja.

"Pada tanggal 25 Januari, jalanan akan kembali menjadi saksi. Jika kuasa telah mengubah mereka yang dahulu berjuang, maka rakyat harus mengingatkan bahawa jalanan bukan milik pemerintah, tetapi milik rakyat yang tidak akan pernah berdiam diri," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!