Buruh tetak rakan sekerja akhirnya didakwa

Junianto (depan) didakwa di Mahkamah Majistret Dungun hari ini kerana membunuh rakan sekerjanya.
Junianto (depan) didakwa di Mahkamah Majistret Dungun hari ini kerana membunuh rakan sekerjanya.
A
A
A

DUNGUN - Seorang buruh ladang sawit warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh rakan sekerjanya yang juga warga tempatan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Junianto, 29, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Hazwanie Husain Bustari.

Berdasarkan pertuduhan Junianto didakwa membunuh Mohd Zukanain Abd Aziz, 39, di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran pondok tidak bernombor di Kampung Beril, Paka di sini kira-kira jam 2.45 pagi pada 12 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri itu disebut semula 9 April ini sementara menunggu laporan kimia dan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Sebelum ini, media melaporkan seorang buruh parah di leher kiri selepas dipercayai ditetak dengan parang oleh rakan sekerjanya sebelum disahkan meninggal dunia selepas hampir setengah jam menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, isteri mangsa, Rosnah Muhamed, 34, turut cedera di tangan apabila cuba mengelak daripada ditetak suspek.

Suspek berjaya ditahan kira-kira jam 9 pagi pada hari kejadian ketika sedang bersembunyi di belakang rumah kongsi.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Buruh ladang sawit mati ditetak rakan sekerja

Suspek tetak buruh di ladang sawit positif dadah