JIM Putrajaya selamatkan 10 wanita warga Indonesia

Sekumpulan wanita warga Indonesia berjaya diselamatkan menerusi operasi khas JIM di sekitar Temerloh, Pahang pada 16 Mei lalu. - Foto Ihsan JIM Putrajaya.
Sekumpulan wanita warga Indonesia berjaya diselamatkan menerusi operasi khas JIM di sekitar Temerloh, Pahang pada 16 Mei lalu. - Foto Ihsan JIM Putrajaya.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket mengeksploitasi 'pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan' yang didalangi warga asing dan rakyat tempatan menerusi operasi khas yang dijalankan pada 16 Mei lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi bermula pada jam 7 malam melibatkan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya telah menyerbu dua buah premis di sekitar Temerloh, Pahang.

Menurutnya, operasi tersebut berjaya menyelamatkan 10 orang wanita warga Indonesia berumur 23 hingga 50 tahun yang memiliki pas lawatan sosial (PLS) tamat tempoh.

Beliau berkata, kesemua yang diselamatkan dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sindiket dengan bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan.

Tambahnya, pasukan operasi turut menahan seorang wanita warga Indonesia berumur lingkungan 30 tahun yang dipercayai sebagai penjaga kepada semua mangsa dan memiliki PLS yang telah tamat tempoh.

Dua petugas operasi khas JIM Putrajaya (kiri) melakukan siasatan ke atas seorang wanita yang dipercayai pemilik syarikat agensi pekerjaan yang beroperasi di Temerloh, Pahang. - Foto Ihsan JIM Putrajaya.
Dua petugas operasi khas JIM Putrajaya (kiri) melakukan siasatan ke atas seorang wanita yang dipercayai pemilik syarikat agensi pekerjaan yang beroperasi di Temerloh, Pahang. - Foto Ihsan JIM Putrajaya.

"Pada jam 8.30 malam, serbuan kedua dilakukan di sebuah premis agensi pekerjaan dan seorang wanita berusia 40 tahun telah ditahan.

"Wanita tersebut merupakan pemilik syarikat agensi pekerjaan yang membawa masuk kesemua warga asing terbabit dan dipercayai menguruskan sindiket ini.

"Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan wanita warga asing untuk bekerja sebagai 'pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan' di rumah yang telah ditentukan pihak sindiket.

"Pemilik rumah yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan itu akan menghubungi agensi pekerjaan, seterusnya mengatur tarikh dan waktu bekerja termasuk menghantar serta mengambil mangsa setelah selesai bertugas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ruslin berkata, melalui pengakuan lisan daripada kesemua mangsa, mereka tidak pernah menerima gaji secara fizikal daripada sindiket terbabit dan kebebasan mangsa juga turut disekat seperti kemudahan cuti bekerja dan juga penggunaan telefon bimbit bagi menghubungi ahli keluarga di negara asal mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan daripada pihak sindiket ini pula adalah sekitar RM150 hingga RM250 untuk satu hari.

Tambahnya, sindiket beroperasi sejak lebih dua tahun itu dipercayai mengaut keuntungan RM900,000 setahun, hasil bayaran bagi mendapatkan pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan.

Sebuah rumah dijadikan premis menempatkan warga Indonesia diserbu JIM dalam satu operasi khas di Temerloh, Pahang pada 16 Mei lalu. - Foto Ihsan JIM Putrajaya.
Sebuah rumah dijadikan premis menempatkan warga Indonesia diserbu JIM dalam satu operasi khas di Temerloh, Pahang pada 16 Mei lalu. - Foto Ihsan JIM Putrajaya.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan serta siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, beliau berkata, wanita tempatan yang juga pemilik agensi pekerjaan yang ditahan itu telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah selesai menjalani soal siasat.

"JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," tegasnya.