Lebih 6,000 warga Indonesia pulang beraya naik feri

Keadaan di Terminal Feri Antarabangsa Kukup sesak dengan penumpang yang hendak pulang beraya ke Tanjung Balai Indonesia.
Keadaan di Terminal Feri Antarabangsa Kukup sesak dengan penumpang yang hendak pulang beraya ke Tanjung Balai Indonesia.
A
A
A

PONTIAN - Lebih 6,000 warga Indonesia menggunakan perkhidmatan feri di Terminal Feri Antarabangsa Kukup di sini untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, segelintir mereka mula memenuhi kawasan terminal penumpang seawal jam 5 pagi dan turut bersahur di situ.

Mohd Rafi Harun, 41 yang sudah menetap di Malaysia berkata isteri Fazlina Zamzuri, 38 dan tiga orang anaknya turut pulang bersama menaiki feri ke kampung halaman di Tanjung Balai, Indonesia.

"Kami sekeluarga dari Gopeng, Perak. Setiap tahun pulang beraya ke Tanjung Balai, kami sekeluarga akan menaiki feri di Kukup. Kami bertolak dari Gopeng jam 11 malam dan tiba di Kukup, awal pagi.

"Jarak perjalanan feri dari Kukup ke Tanjung Balai lebih singkat iaitu cuma satu jam. Kami sekeluarga merancang untuk beraya seminggu di sana. Di Tanjung Balai ada ketupat dan rendang sama seperti di sini," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Adibah Tayeb, 41 berkata, dia datang seawal jam 5 pagi ke terminal feri untuk membeli tiket untuk pulang ke Tanjung Balai.

"Saya datang awal pagi bimbang tiket feri habis. Sekitar jam 8 pagi kaunter dibuka saya terus beli tiket. Syukur dapat tiket dan boleh balik kampung.

"Kuih raya saya bawa sebagai buah tangan untuk keluarga di sana. Memang seronok dapat pulang beraya lebih awal pada tahun ini," katanya.

Lebih 6,000 warga Indonesia menggunakan perkhidmatan feri di Terminal Feri Antarabangsa Kukup untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri bersama keluarga.
Lebih 6,000 warga Indonesia menggunakan perkhidmatan feri di Terminal Feri Antarabangsa Kukup untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

Sementara itu, Penolong Pengurus Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Azwan Amin berkata sebanyak 1,700 penumpang direkodkan pada Selasa, dan angka itu dijangka terus meningkat sehingga Aidilfitri.

"Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) yang mengendalikan Terminal Feri Antarabangsa Kukup bersedia menampung bilangan penumpang yang ramai dengan menyediakan khemah sebagai ruang tambahan kepada tempat menunggu yang sedia ada.

"Setiap hari sebanyak,10 slot perjalanan ulang alik feri antara Tanjung Balai ke Kukup beroperasi. Waktu perjalanan feri bermula pada jam 7.45 pagi sehingga 5.30 petang.

"Harga tiket bagi perjalanan dua ialah RN175 bagi dewasa dan kanak-kanak RM145," katanya.

Menurut Azwan, kebanyakan penumpang sudah membeli tiket feri sejak awal Ramadan dan sudah merancang perjalanan lebih awal terutama bagi mereka yang tinggal di luar daerah Pontian terutama di Johor Bahru.

"Kali ini, kita menjangkakan ramai yang pulang ke Tanjung Balai untuk beraya kerana cuti yang lebih panjang selain pembukaan semula terminal feri di sini selepas dua tahun ditutup akibat Covid-19.

"Kebanyakan yang pulang, bawa kuih, biskut raya dan kek lapis ke kampung halaman di Tanjung Balai," katanya.