Polis tahan 4 suspek kes pukul OKU di pasar tani

KEMAMAN - Polis menahan empat individu dipercayai terlibat dalam insiden pukul membabitkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai di sini pada Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Ja'afar berkata, tiga saksi awam juga telah dipanggil untuk diambil keterangan berhubung insiden tersebut.
"Setakat ini, kita telah menahan empat individu yang terlibat dalam insiden ini dan telah merakam keterangan tiga saksi awam susulan kes pukul melibatkan seorang lelaki berusia 47 tahun.
"Pihak polis akan menyiasat secara telus dan akan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam kes ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan supaya orang ramai supaya berhenti menyebarkan sebarang rakaman dan gambar berkaitan insiden tersebut.
"Orang ramai dinasihati agar berhenti menyebarkan video kes ini termasuk memberi komen-komen negatif atau yang boleh mendatangkan kegusaran.
"Mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Jika sabit kesalahan, berdepan denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan," katanya.
Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan berhubung insiden seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar tersebut.
Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh.
Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi tersebut dipercayai telah telah bertindak memukul mangsa.
Insiden mangsa dipukul menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak pagi Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!