Mahu keadilan untuk mangsa OKU, Pemuda UMNO tawar guaman percuma

SHAH ALAM - Pemuda UMNO akan memastikan kesemua individu terlibat dalam kes memukul lelaki orang kurang upaya (OKU) beramai-ramai di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai, Kemaman dikenakan hukuman berat.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya akan melantik peguam daripada parti berkenaan untuk membela nasib mangsa dan mencari bukti kukuh supaya diberikan hukuman yang setimpal.
"Saya dah berhubung dengan peguam Pemuda UMNO, jadi dalam tempoh satu atau dua ini dia akan datang berjumpa kakak (isteri mangsa). Yang penting, saya nak keadilan untuk mangsa dapat dilaksanakan.
"Kita juga nak tengok dari sudut mana untuk pastikan semua yang terlibat akan dikenakan hukuman berat. Jangan fikir berkenaan kos sebab semuanya akan ditanggung oleh Pemuda UMNO.

"Bagi saya ini tanggungjawab saya bila ada orang yang sebegini rupa diperlakukan begitu dan ini juga tanggungjawab kami untuk bangkit serta bantu," katanya menerusi satu hantaran video di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini media melaporkan, polis menahan tiga individu termasuk seorang peniaga bagi membantu siasatan berhubung kejadian pukul membabitkan seorang lelaki OKU di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai, di Kemaman, Terengganu pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Ja'afar berkata, lelaki berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman kira-kira jam 8 pada Jumaat malam.
Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca apabila mangsa menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut meluahkan rasa tidak puas hati berkenaan jumlah individu ditahan sejak semalam kerana bilangan sebenar lebih ramai jika merujuk kepada rakaman yang tular.
Tambah beliau, akta dibawa dalam kes berkenaan juga terlalu ringan dan pihaknya akan memastikan individu terlibat bakal dituduh dalam akta lebih berat.
"Saya akan pastikan keadilan berpihak kepada pihak abang (mangsa). Jangan risau sebab saya tengok bila ditangkap (hanya) tiga orang, saya sendiri pun tak puas hati.
"Tengok akta dibawa itu pun saya rasa terlalu ringan, jadi kita tak nak gunakan akta sedia ada. Kita nak minta kalau boleh yang bersalah itu dituduh dalam akta lebih berat lagi.
"Saya minta maaf, ikutkan hati saya nak ke Terengganu tapi saya hari ini ada di Sabah. Jadi insya-ALLAH, apa-apa nanti Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Fadini Rahim akan aturkan. Saya akan lawan habis-habisan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!