Gencatan senjata isyarat kemenangan Palestin, pembebasan Al-Aqsa makin hampir - Mujahid

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Gencatan senjata yang disepakati antara Israel dan Hamas menandakan isyarat kemenangan awal bagi rakyat Palestin.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, rakyat Palestin bukan sahaja mempertahankan tanah air daripada dibantai rejim Zionis, malah mereka sentiasa berada di barisan hadapan bagi memenuhi doa umat Islam sedunia untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa.

Menurutnya, di sebalik pembantaian selama 15 bulan, dunia pro-Zionis Israel mengharapkan Gaza terhapus daripada peta dunia, namun perkiraan itu tersasar apabila rakyat di wilayah berkenaan tetap berdiri teguh memaksa musuh melaksanakan gencatan senjata selama 42 hari.

"Rakyat Palestin telah menunjukkan kepada dunia mengenai erti ketahanan, jati diri dan kemuliaan maruah ketika dunia memekakkan telinga terhadap penderitaan tragis dihadapi mereka.

"Kemenangan Palestin ialah apabila rakyat di dunia barat membantah kerajaan masing-masing dan turun ke jalan raya sambil laung 'Bebas Palestin', 'Dari Sungai ke Lautan, Palestin Bebas', bahkan pelajar universiti buat bantahan berhari-hari di kampus untuk mengutuk kekejaman Israel serta menuntut pembebasan Palestin.

"Desakan dan solidariti ini merupakan anjakan besar terhadap perjuangan rakyat Palestin serta satu isyarat kemenangan besar yang bakal dicapai," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu lalu, dilaporkan perunding proses damai antara Israel dan Hamas sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata di Genting Gaza bermula Ahad ini selepas 15 bulan wilayah tersebut dihujani bom serta meragut lebih 46,000 nyawa.

Mujahid berpandangan, kekalahan Israel jelas dari sudut moral dan maruah, malah Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu serta bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant diisytihar sebagai penjenayah perang di atas kesalahan genosid yang diputuskan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) termasuk pengeluaran waran tangkap terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, Israel juga bergolak dengan krisis dalaman yang menuntut Netanyahu bertanggungjawab terhadap tahanan Israel di bawah simpanan Hamas.

Bukan itu sahaja, Mujahid yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan, Brazil, Venezuela dan Ireland turut memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai bantahan terhadap genosid dilakukan rejim Zionis.

"AS sebagai sekutu dan penaung Israel juga mengalami ketidakstabilan dalaman apabila Presiden terpilih, Donald Trump mahu jadikan Palestin sebagai 'neraka' dunia. Namun, kebakaran besar di Los Angeles, California dibalas tunai oleh ALLAH SWT menyebabkan bandar itu yang menjadi 'neraka'.

"Justeru, Amanah bersyukur dengan perkembangan gencatan senjata Israel-Hamas dan semua pihak diminta bersiap sedia untuk membawa misi bantuan kemanusiaan ke Palestin.

"Marilah kita semua menyakini bahawa kemerdekaan mutlak Palestin dan Masjid Al-Aqsa satu peluang untuk mengembalikan keamanan di dunia ini," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!