Kerajaan, rakyat perlu terus sokong pembinaan semula Gaza

SHAH ALAM - Kerajaan dan rakyat Malaysia perlu terus menyokong pembinaan semula Gaza susulan persetujuan gencatan senjata Israel - Hamas yang akan berkuatkuasa pada Ahad.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, ia kerana proses pemulihan tersebut memerlukan pelaburan besar bagi menyediakan pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan kepada masyarakat Palestin.
“Keprihatinan itu bukan sahaja menjadi tanggungjawab moral, tetapi juga satu bentuk solidariti kemanusiaan yang harus diterjemahkan melalui tindakan nyata dan berterusan.
“Gencatan senjata kali ini, yang membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan pertukaran tahanan, hanya langkah awal untuk pemulihan, tetapi ia tidak menggantikan hak asasi rakyat Palestin untuk hidup bebas tanpa ketakutan serta sekatan.
“Kebebasan rakyat Palestin masih harus diperjuangkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kerajaan Israel menerusi undian mesyuarat Kabinet Keselamatan Israel pada Sabtu dilaporkan menyokong perjanjian gencatan senjata Gaza dengan Hamas.
Pejabat Perdana Menteri Israel dalam kenyataan berkata, Kabinet menerima perjanjian itu selepas meneliti semua aspek politik, keselamatan, dan kemanusiaan.
Ujar Badlishah Sham, perjanjian tersebut tidak membawa kepada penyelesaian sebenar terhadap punca utama konflik, iaitu penjajahan dan sekatan tidak berkesudahan ke atas warga Palestin.
Menurutnya, keperluan untuk mempertanggungjawabkan Israel dan pihak yang terlibat dalam penindasan itu masih perlu diteruskan.
“Kegagalan badan antarabangsa seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk bertindak tegas terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh Israel menunjukkan kelemahan mereka dalam menegakkan keadilan.
“Ikram menggesa agar Israel dan sekutunya, terutamanya Amerika Syarikat (AS) dibawa ke mahkamah untuk bertanggungjawab atas kezaliman yang telah mereka lakukan.
“Keputusan-keputusan seperti pemindahan kedutaan AS ke Jerusalem, pengiktirafan Bukit Golan sebagai sebahagian Israel dan pengurangan dana untuk Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) telah memburukkan keadaan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!