'Gaza akan aman, untuk apa boikot lagi Starbucks?' - Vincent Tan

KLANG - Tiada keperluan untuk memboikot jenama Starbucks berikutan pengumuman gencatan senjata di Gaza yang bakal berkuat kuasa Ahad ini.
Pengasas dan penasihat Berjaya Corporation Berhad (Berjaya), Tan Sri Vincent Tan memberi bayangan bahawa jenama tersebut akan kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
“Sekarang sudah ada berita gencatan senjata di Gaza, ini memang satu berita bagus buat semua. Gaza akan aman kembali, ini yang kita semua mahu.
“Jadi untuk apa mahu boikot lagi Starbucks? Tidak ada keperluan lagi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pulau Ketam di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, beberapa kali ahli perniagaan berkenaan menegaskan tindakan memboikot Starbucks hanya akan merugikan rakyat Malaysia.
Selain itu, beliau dilaporkan pernah mendedahkan hampir 85 peratus pekerja kopi berjenama itu sebenarnya dalam kalangan muslim di negara ini.
Mengulas lanjut, ketika ditanya mengenai kehadiran pelbagai jenama kopi premium, Vincet berkata, ia perkara yang positif kerana persaingan dalam perniagaan bagi memastikan mutu serta kualitinya sentiasa terjamin.
“Ingat ya, apa jua perniagaan pastinya ada banyak persaingan. Pada saya, ia positif dan tidak banyak yang perlu saya risaukan.
“Kita juga ada beberapa strategi bagi memastikan jenama ini terus menjadi pilihan utama tetapi pastinya ini ‘rahsia’, tidak boleh kita dedah begitu sahaja.
"Ini strategi sulit kita, tidak boleh diumumkan secara terbuka,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!