Gencatan senjata Hamas-Israel langkah pertama tamat konflik di Gaza

SHAH ALAM - Perjanjian gencatan senjata antara Hamas-Israel merupakan langkah pertama untuk menamatkan konflik selama 15 bulan yang telah mengorbankan banyak nyawa, penderitaan rakyat Palestin dan kemusnahan Gaza.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, gencatan senjata itu akan membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang baharu kepada rakyat Palestin.
Menurutnya, ia amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin yang masih berada di Gaza terutamanya ketika musim sejuk ini.
"Malaysia memuji Kerajaan Republik Arab Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat serta pengantara masing-masing atas kesungguhan dan komitmen mereka dalam mencapai perjanjian ini.
"Usaha kini perlu ditumpukan kepada pelaksanaan yang berkesan dan sepenuhnya mengikut komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak terlibat," ujarnya pada Khamis.
Sebelum ini, perunding proses damai akhirnya mencapai kesepakatan pada Rabu untuk melaksanakan gencatan senjata di Genting Gaza selepas lebih 15 bulan wilayah tersebut dihujani bom dan meragut lebih 46,000 nyawa.
Kandungan perjanjian tersebut yang belum diumumkan secara rasmi menggariskan fasa gencatan senjata awal termasuk pengunduran secara berperingkat pasukan tentera Israel dari Gaza dan pertukaran tahanan.
Berdasarkan draf akhir yang dijangka diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat, Hamas bersetuju membebaskan 33 tawanan dengan pertukaran ratusan tahanan Palestin yang ditempatkan di penjara Israel.
Wisma Putra turut menyifatkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan serta mereka yang ditahan sewenang-wenangnya dicapai pada 15 Januari 2025 sebagai perkembangan yang amat dialu-alukan.
"Malaysia kekal teguh bersolidariti dengan Palestin dan sentiasa melihat peluang masyarakat antarabangsa untuk bersatu bagi mencari penyelesaian kekal kepada salah satu konflik yang paling lama berlarutan di dunia.
"Kami juga sentiasa menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mewujudkan sebuah negara yang merdeka serta berdaulat," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

