'Rasa seperti dilahirkan semula' - Rakyat Gaza

CAIRO - Rakyat Palestin bersorak gembira di seluruh Jalur Gaza pada Rabu apabila mendapat berita mengenai gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Menurut laporan Reuters, kebanyakan rakyat Gaza meraikan khabar baik itu dengan mengalirkan air mata kegembiraan dan ada yang meniup terompet, bertepuk tangan serta melaungkan kalimah ALLAHUAKBAR.
Menurut ibu kepada lima anak yang dikenali sebagai Ghada, makluman mengenai berita tersebut merupakan sinar baharu kepada rakyat Palestin yang sudah lama menderita akibat perang berkenaan.
"Saya gembira. Ya, saya menangis, tetapi itu adalah air mata kegembiraan.
"Kami rasa seperti dilahirkan semula dengan setiap jam Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai ketika ini, saya harap semua akan berakhir sekarang," katanya kepada Reuters.
Sebelum ini Reuters melaporkan, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, memaklumkan bahawa gencatan senjata akan berkuat kuasa pada Ahad.
Perjanjian yang kompleks ini menetapkan fasa awal gencatan senjata selama enam minggu, termasuk penarikan balik secara berperingkat tentera Israel dari Semenanjung Gaza serta pembebasan tebusan oleh Hamas sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin yang ditahan Israel.
Pada masa sama, Reuters turut melaporkan, sekumpulan anak muda memukul tamborin, meniup serunai dan menari di jalanan di Khan Younis beberapa minit selepas mendengar berita mengenai perjanjian yang dicapai di ibu negara Qatar, Doha.

Pun begitu, dalam kegembiraan yang dikecapi, ada segelintir daripada rakyat Palestin menghadapi perasaan bercampur-baur.
Bagi Ahmed Dahman, 25, perkara pertama yang akan dilakukannya apabila perjanjian itu berkuatkuasa adalah untuk mengambil semula jenazah bapanya yang dibunuh dalam serangan udara ke atas rumah keluarganya tahun lalu dan melakukan pengebumian sempurna.
"Saya rasa bercampur baur antara gembiran dan sedih kerana nyawa akan diselamatkan dan (pertumpahan) darah dihentikan.
"Tetapi saya juga bimbang tentang kesan pasca perang terhadap apa yang akan kami lihat di jalanan, rumah kami musnah, ayah saya yang tubuhnya masih di bawah runtuhan," katanya.
Menurut ibunya, Bushra, walaupun gencatan senjata itu tidak akan membawa suaminya kembali, sekurang-kurangnya ia mungkin dapat menyelamatkan nyawa lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

