MOTAC siasat syarikat pelancongan gagal menerbangkan jemaah umrah

Jemaah berada di syarikat pengendali umrah ketika ini bagi mengetahui status pemberian semula wang mereka
Jemaah berada di syarikat pengendali umrah ketika ini bagi mengetahui status pemberian semula wang mereka
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menjalankan siasatan ke atas sebuah syarikat pelancongan berlesen yang telah diadu gagal menerbangkan jemaah umrah pada Selasa.

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, syarikat tersebut disarankan untuk menunaikan tempahan jemaah sedia ada yang telah membuat bayaran penuh.

Menurutnya lagi, syarikat itu juga dikehendaki untuk menerbangkan jemaah mengikut jadual penerbangan dipersetujui dan memulangkan wang kepada mereka yang telah memohon untuk membatalkan pakej umrah.

“Buat masa ini, syarikat telah dinasihati agar tidak mengambil tempahan daripada jemaah umrah baharu sehingga menyelesaikan semua tempahan yang terdahulu.

“MOTAC menasihati mana-mana jemaah yang berkaitan dengan aduan ini boleh membuat laporan polis di balai polis berdekatan, membuat aduan rasmi kepada pihak MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my untuk membantu siasatan dan membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia,” katanya pada Rabu.

Sebelum ini, syarikat pengendali umrah yang terpalit dengan kontroversi itu berdepan tindakan penggantungan operasi selama tujuh hari.

Laporan Sinar Harian mengenai lebih 30 jam jemaah umrah terkandas berkampung mahu tuntut semula wang.
Laporan Sinar Harian mengenai lebih 30 jam jemaah umrah terkandas berkampung mahu tuntut semula wang.

Artikel Berkaitan:

Tegas Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akhbar Khan, tindakan itu berkuat kuasa pada Rabu sekiranya syarikat berkenaan gagal membuat pemulangan wang sehingga malam Selasa.

Dalam pada itu, MOTAC berkata, semua syarikat pelancongan yang terlibat dengan industri umrah perlu jujur dan telus dalam melaksanakan perniagaan terutama berkenaan dengan pakej ditawarkan.

Menurutnya, isu seperti kegagalan menerbangkan jemaah mengikut perancangan asal dan memulangkan wang apabila berlaku perubahan akan menjejaskan industri tersebut.

“Tambah lagi apabila MOTAC sedang berusaha sedaya upaya untuk memajukannya.

“Ini bukan sahaja akan mencemarkan imej industri tetapi juga membawa kepada kehilangan keyakinan dalam kalangan jemaah untuk memilih syarikat pelancongan berlesen tempatan untuk menunaikan umrah,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat yang didapati melakukan sebarang pelanggaran di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!