Kes rasuah Rosmah: Peguam bela persoal Madinah gagal nasihat Najib

Rosmah Mansor
Rosmah Mansor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pembelaan kes rasuah projek tenaga solar melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor hari ini berulang kali menyoal saksi pendakwaan keenam, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad sama ada beliau ada menasihati atau tidak Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung projek berkenaan.

Peguam bela, Datuk Akberdin Abdul Kader menyoal saksi itu sama ada beliau telah mengambil apa-apa inisiatif bertemu Najib, yang juga merupakan Menteri Kewangan ketika itu bagi tujuan memberitahu bahawa projek itu tidak boleh dilaksanakan.

Akberdin juga dalam pemeriksaan balasnya bertanya, sama ada Madinah telah menulis surat kepada Najib untuk memberitahu mengenai cabaran yang dihadapi oleh Kementerian Pendidikan dalam memproses proposal Jepak Holdings untuk menjalankan projek itu.

Madinah kemudian memberitahu mahkamah bahawa sebagai KSU ketika itu, beliau perlu mengikut hierarki dan tidak berada pada kedudukan untuk terus mendekati Najib.

Madinah berkata, beliau telah memaklumkan isu-isu berkenaan kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang telah berjanji untuk membawanya kepada perhatian Najib.

Malah Madinah juga tidak bersetuju dengan cadangan Akberdin bahawa adalah tidak adil bagi beliau datang ke mahkamah dan mengaitkan Najib dalam hal itu sedangkan beliau sebelum ini tidak pernah menasihati Najib berkenaan projek itu.

Perbicaraan rasuah terhadap Rosmah berhubung projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah di Sarawak diteruskan pada hari kesembilan hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Rosmah, 68, berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung petang ini.