CEO MBI dan pengarah syarikat ditahan kes rasuah RM13 juta

Seorang CEO MBI ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dengan rasuah melebihi RM13 juta dalam sektor perlombongan.
Seorang CEO MBI ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dengan rasuah melebihi RM13 juta dalam sektor perlombongan.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan seorang wanita berjawatan pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor perlombongan.

Sumber berkata, perintah reman selama tiga hari bermula Rabu sehingga 21 Julai terhadap kedua-dua suspek itu kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti rasuah melebihi RM13 juta.

Katanya, reman masing-masing dikeluarkan oleh Majistret Wan Shahida Abd Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar dan Majistret Norsyakirah Che Hashim di Mahkamah Majistret Shah Alam, selepas permohonan reman dibuat SPRM.

Menurutnya, suspek yang masing-masing berusia 63 dan 40 tahun itu ditahan lewat petang semalam di Alor Setar dan Kuala Lumpur.

"Aktiviti perlombongan itu dijalankan secara haram oleh sebuah syarikat dan dipercayai mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu sejak 2020.

"Sehubungan itu, hasil siasatan yang dijalankan berjaya mengesan beberapa pembayaran disyaki melibatkan rasuah melebihi RM13 juta diberikan kepada syarikat terlibat sebagai sogokan bagi melindungi kegiatan perlombongan haram itu untuk tempoh 2020 hingga 2023," katanya pada Rabu.

Tambahnya lagi, syarikat milik wanita yang ditahan reman itu dipercayai telah mendapat kelulusan untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak (TLC) di dua kompartmen di Kedah sejak 2016.

Menurutnya, projek tersebut bertujuan menanam semula pokok-pokok getah klon balak di kawasan pembalakan yang terlibat.

Katanya lagi, pada 2020, syarikat yang sama telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri Kedah bagi menjalankan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam kompartmen yang sama.

Namun begitu dakwanya, tiada kelulusan diberikan oleh kerajaan negeri berhubung permohonan syarikat itu bagi menjalankan aktiviti perlombongan tersebut setakat ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.