8 kru kapal tangki sempat naik rakit kecemasan sebelum karam

KOTA TINGGI - Lapan kru warga Indonesia sempat menaiki rakit kecemasan bagi menyelamatkan diri sebelum kapal tangki yang dinaiki mereka karam pada kedudukan 7.2 batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Pengerang di sini pada petang Ahad.
Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kapten Maritim Kama Azri Kamil berkata, sebelum kapal tangki yang berdaftar di Malaysia itu tenggelam pada jam 6 petang, kru kapal terbabit sempat melepaskan suar kecemasan bagi mendapatkan bantuan.
“Tindakan itu (melepaskan suar) membuatkan Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang bertugas di Abu Bakar Maritime Base (ABMB) mengesan kapal tangki itu sebelum memohon bantuan melalui radio pada jam 4.40 petang.
“Kejadian itu kemudian dilaporkan kepada Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru dan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) diaktifkan pada jam 5 petang.
“Selain itu, Kapal Maritim (KM) Niah telah diatur gerak ke lokasi kejadian dan bantuan aset turut disalurkan kepada Markas Wilayah Laut Satu (Mawilla 1) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kama Azri berkata, sekitar jam 5.45 petang, kesemua lapan kru kapal tangki terbabit dilaporkan telah meninggalkan kapal tangki berkenaan dengan menaiki rakit kecemasan.

Katanya, kesemua mereka kemudiannya diselamatkan oleh sebuah kapal tangki berdaftar di Indonesia yang berada di kawasan berhampiran.
“Pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya dengan kerjasama Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Republik Indonesia kemudiannya bekerjasama memastikan urusan pemindahan semua mangsa ke Batu Ampar, Batam berjalan lancar.
“Selain itu, pihak Jabatan Laut Wilayah Selatan turut dimaklumkan bagi menghantar pemakluman kepada kapal-kapal dagang berhampiran mengenai kejadian itu dan tindakan selanjutnya untuk keselamatan kapal di lokasi kejadian yang berada dalam perairan Malaysia.
“Operasi tersebut ditamatkan pada jam 11.45 malam setelah kesemua mangsa disahkan selamat dan dipindahkan ke Pangkalan Kesatuan Penjagaan Laut dan Pantai (KPLP) Republik Indonesia di Pulau Bintan dengan menggunakan kapal KN Sarotama,” katanya.
Pihak MRSC Johor Bahru turut menasihatkan kepada semua komuniti maritim agar berhati-hati di laut terutamanya pada musim cuaca buruk dan angin kuat ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
