Isu dakwaan pegangan saham Azam Baki wajar dibahas di Parlimen - Guan Eng

SHAH ALAM - Isu dakwaan pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki wajar dibahaskan di Parlimen, kata Penasihat DAP, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, isu terbabit perlu dibahaskan sebelum sidang semasa berakhir pada 3 Mac 2026 sepertimana dicadangkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2022.
"Ketika saya menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP, Majlis Presiden PH pada ketika itu telah menggesa Azam dan dua individu lain digantung tugas berhubung skandal pegangan saham bagi memberi laluan kepada siasatan bebas.
"Pada masa tersebut, Azam terlibat dalam kontroversi pegangan saham yang serupa berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (dahulunya KBES Berhad) pada 30 April 2015, bernilai kira-kira RM772,000 pada waktu itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Guan Eng memberitahu, pegangan saham beliau dalam Gets Global Berhad menurun kepada 1,029,500 saham setakat 31 Mac 2016 yang bernilai sekitar RM340,000 ketika itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan memaklumkan, Azam juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.
Tambahnya, Azam sekali lagi kini terlibat dalam kontroversi pegangan saham serupa apabila rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendedahkan beliau satu ketika pada tahun lalu memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad serta kira-kira 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.
Menurut laporan media, Guan Eng berkata, saham Velocity Capital Partner dipercayai dibeli pada harga sekitar RM1.5 juta, manakala saham Awanbiru Technology dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta hingga RM1.38 juta pada suatu ketika.
"Sepertimana yang dicadangkan oleh Majlis Presiden PH pada tahun 2022, saya juga bersetuju bahawa isu ini wajar dibahaskan sebagai satu usul khusus di Parlimen sebelum sidang semasa berakhir pada 3 Mac 2026," ujarnya lagi.
Ringkasan AI
- Isu dakwaan pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki perlu dibahaskan di Parlimen
- Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyatakan isu itu harus dibahas sebelum sidang semasa berakhir pada 3 Mac 2026
- Azam Baki terlibat dalam kontroversi pegangan saham Gets Global Berhad dan Excel Force MSC Berhad
- Rekod SSM mendedahkan Azam memiliki saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan Awanbiru Technology Berhad
- Majlis Presiden Pakatan Harapan menggesa agar isu ini dibahaskan sebagai usul khusus di Parlimen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

