Kanak-kanak 6 tahun rentung, rumah terbakar

Sebuah rumah di Taman Baiduri, Banting terbakar pada pagi Ahad.
Sebuah rumah di Taman Baiduri, Banting terbakar pada pagi Ahad.
A
A
A

KUALA LANGAT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun rentung, manakala seorang lelaki cedera selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Baiduri, Banting di sini pada Ahad.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mayat mangsa ditemukan di bilik tingkat atas rumah berkenaan.

"Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.42 pagi.

"Seramai 18 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan BBP Teluk Panglima Garang terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran itu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Seramai 18 anggota dari BBP Banting dan Teluk Panglima Garang terlibat dalam operasi pemadaman.
Seramai 18 anggota dari BBP Banting dan Teluk Panglima Garang terlibat dalam operasi pemadaman.

Ahmad Mukhlis berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres kelas A dengan kemusnahan 84 peratus.

"Terdapat dua mangsa terperangkap dan kerja pencarian dijalankan sebelum menemukan mayat seorang kanak-kanak rentung di bilik tingkat atas.

"Seorang lelaki berusia 30-an yang cedera dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ketika kejadian rumah itu dihuni seramai 10 individu dan sembilan daripada mereka dilaporkan selamat.

“Kebakaran rumah itu berjaya dikawal dan padam sepenuhnya kira-kira jam 7 pagi. Punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun rentung dalam kebakaran rumah teres di Taman Baiduri, Banting
  • Seorang lelaki cedera dan dihantar ke hospital berhampiran
  • Seramai 18 anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman
  • Rumah yang terbakar mengalami kemusnahan 84 peratus
  • Kebakaran berjaya dikawal dan padam sepenuhnya kira-kira jam 7 pagi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!