Padah buat laporan palsu, suri rumah didenda RM1,500

SUNGAI PETANI - Seorang suri rumah didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret 3 di sini selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu, tahun lalu.
Tertuduh, G Kallivani, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri pada prosiding yang berlangsung Ahad.
Mahkamah turut memerintahkan wanita berkenaan dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan maklumat bertulis dalam satu laporan polis kepada anggota bertugas sedangkan dia mengetahui maklumat berkenaan adalah palsu.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat OSC Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda kira-kira jam 9.50 malam pada 23 Disember tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Noor manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim.
Sementara itu, lima lagi individu turut didenda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama membabitkan kes laporan palsu antara Oktober 2025 hingga Januari 2026.

Dua tertuduh, Muhammad Khairul Azim Ahmad, 33, dan Muhammad Alif Afqaa Samsudin, 30, masing-masing didenda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.
Prosiding terhadap tiga lagi tertuduh dijalankan di Mahkamah Majistret 2 membabitkan Nor Adilla Zulkifli, 36; Muhammad Basri Baharudin, 27; dan Siti Fatimah Azmi, 31.
Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau tujuh hari penjara jika gagal membayar denda selepas ketiga-tiga mereka mengaku bersalah.
Beliau turut menasihati semua tertuduh supaya insaf dan tidak mengulangi perbuatan itu kerana tindakan membuat laporan palsu menyusahkan pelbagai pihak termasuk anggota polis yang terpaksa menjalankan siasatan terhadap kejadian tidak benar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya manakala tertuduh diwakili peguam YBGK, Nur Adnin Farahin Zainal.
Ringkasan AI
- Seorang suri rumah didenda RM1,500 atas laporan palsu
- Mengaku bersalah di hadapan Majistret di Sungai Petani
- Dikenakan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda
- Dituntut atas kesalahan memberi maklumat palsu kepada polis
- Lima individu lain juga didenda atas pertuduhan serupa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

