Kapal tangki terbakar, Maritim selamatkan 14 kru

JOHOR BHARU - Seramai 14 kru warga asing sebuah kapal tangki berjaya diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas kapal berkenaan terbakar di kedudukan empat batu nautika tenggara Tanjung Piai, pada Ahad.
Menurut Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Kama Azri Kamil, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) pada jam 9.25 pagi setelah menerima makluman daripada kapal Maritim KM Satria mengenai kejadian kebakaran tersebut.
"Sejurus OP Carilamat diaktifkan, KM Satria, KM Tambisan dan Bot Kilat 18 dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi mengkoordinasikan OP Carilamat bersama dua bot dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua.
"OP Carilamat ini turut melibatkan lima buah Bot Tunda syarikat operator STS iaitu Syarikat Contemporary Logistics bagi melawan kebakaran kapal tangki terbabit yang dikendalikan 15 kru warga Myanmar, Indonesia dan Singapura berumur antara 22 hingga 73 tahun," katanya.

Seramai 14 kru yang diselamatkan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Johor manakala seorang kru warga Indonesia telah hanyut ke perairan Singapura.
Difahamkan, pihak berkuasa Singapura telah memaklumkan mengenai penemuan mangsa yang tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut.
Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dan tiada tumpahan minyak dikesan setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
