Setengah bilion terperangkap akibat Covid-19

Pihak berkuasa memeriksa suhu seorang pemandu bas di laluan keluar lebuh raya Zhangjiakou di utara wilayah Hubei. - AFP
Pihak berkuasa memeriksa suhu seorang pemandu bas di laluan keluar lebuh raya Zhangjiakou di utara wilayah Hubei. - AFP
A
A
A

BEIJING - Hampir 500 juta penduduk China terperangkap selepas pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung ketika wabak koronavirus (Covid-19) merebak ke setiap pelosok wilayah di republik itu.

Angka mengejutkan itu mengatasi jumlah keseluruhan populasi penduduk Amerika Syarikat (AS) yang berjumlah 330 juta orang atau menyamai kira-kira 6.5 peratus penduduk dunia.

Sekurang-kurangnya 48 bandar dan empat wilayah di seluruh China termasuk Wuhan iaitu pusat penyebaran Covid-19 telah mengeluarkan notis rasmi perintah berkurung.

Langkah ketat seperti memastikan penduduk didaftarkan sebelum dibenarkan keluar atau masuk termasuk menutup jalan serta menggantung perkhidmatan kereta api dan pengangkutan awam turut dilaksanakan bagi membendung penularan wabak berkenaan.

Pihak berkuasa menutup laluan utama di Wuhan sebagai sebahagian daripada langkah menyekat penularan Covid-19.
Pihak berkuasa menutup laluan utama di Wuhan sebagai sebahagian daripada langkah menyekat penularan Covid-19.

Wuhan adalah bandar pertama di China melaksanakan larangan perjalanan pada 23 Januari lalu, sebelum wabak berkenaan tersebar ke lebih 25 negara lain.

Setakat ini, lebih 66,000 kes jangkitan Covid-19 telah disahkan membabitkan lebih 1,400 kematian.

Selepas pintu sempadan Wuhan ditutup pada 23 Januari lalu, semua penerbangan keluar masuk dibatalkan, malah bandar-bandar lain berhampiran Hubei turut mengambil langkah menyekat pergerakan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, penduduk di Wuhan, Huanggang, Enzhou dan beberapa kawasan di Hubei dilarang sama sekali meninggalkan bandar tersebut.

Bandar lumpuh akibat wabak

Sepanjang pelaksanaan arahan berkurung, beberapa bandar terlibat terutamanya Wuhan lumpuh.

Jalan-jalan utama yang biasanya dipenuhi orang ramai kini lengang dan jutaan lagi tidak keluar bekerja selama dua minggu kerana bimbang dijangkiti virus berkenaan.

Malah, seramai 80.41 juta penduduk terjejas selepas perkhidmatan bas dan kereta api digantung.

Jalan raya di Beijing lengang selepas penduduk mengelak keluar bagi mengelak dijangkiti koronavirus.
Jalan raya di Beijing lengang selepas penduduk mengelak keluar bagi mengelak dijangkiti koronavirus.

Di sesetengah tempat, orang ramai hanya dibenarkan keluar pada waktu-waktu tertentu.

Terdapat juga sekatan di mana hanya beberapa individu daripada sebuah keluarga dibenarkan meninggalkan kediaman mereka pada satu-satu masa.

Di Beijing dan hab perniagaan Shanghai, sebahagian besar jalan raya serta stesen pengangkutan bawah tanah masih kosong.

Kebanyakan kedai dan restoran juga masih ditutup atau tiada pelanggan.

Jumlah kematian cecah 1,500 orang

Sementara itu, jumlah kematian akibat Covid-19 melonjak kepada 1,500 orang semalam selepas 139 lagi orang mati di wilayah Hubei.

Suruhanjaya kesihatan wilayah itu juga melaporkan 2,420 kes baru Covid-19, kira-kira separuh daripada jumlah sehari sebelumnya.

Skala epidemik bertambah minggu ini selepas pihak berkuasa di Hubei menukar kriteria kes, menyaksikan pertambahan ribuan pesakit baru dalam pengiraan mereka.

Kes didiagnosis secara klinikal melalui pengimejan paru-paru kini dikira sebagai tambahan kes yang menunjukkan positif dalam ujian makmal. - Agensi

Petugas perubatan bekerja tanpa henti merawat pesakit koronavirus di China sejak virus maut itu dikesan pada Disember lalu.
Petugas perubatan bekerja tanpa henti merawat pesakit koronavirus di China sejak virus maut itu dikesan pada Disember lalu.