Kanak-kanak lumpuh akibat kecuaian hospital menang saman RM5 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menganugerahkan pampasan lebih RM5 juta kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, berhubung saman terhadap Kerajaan Malaysia dan 18 pegawai perubatan atas faktor kecuaian hingga mengakibatkannya lumpuh dari leher hingga ke bawah.

Menerusi keputusan penghakiman, Hakim, Datuk Akhtar Tahir berkata, kanak-kanak ini berhak mendapat pampasan yang mencukupi di sepanjang hayatnya.

Pada 12 Mei 2020, kanak-kanak, Adeena Mohd Syahmir selaku plaintif, dilahirkan melalui pembedahan di sebuah hospital di sini, namun mengalami kecederaan saraf tunjang sehingga menyebabkannya lumpuh bermula dari leher hingga ke bawah.

Menurut Akhtar, berdasarkan keterangan doktor pakar dan keadaan plaintif, kanak-kanak itu mungkin mampu hidup sehingga ke usia 23 tahun.

"Dia berhak mendapat pampasan yang mencukupi sepanjang hayatnya namun tiada jumlah wang yang boleh mengurangkan kesakitan atau penderitaannya.

“Maka mahkamah hanya mampu memberikan jumlah yang mencerminkan kerugian dialami dengan kadar yang munasabah tetapi ia tidak boleh terlalu tinggi.

“Mahkamah juga berpandangan jumlah ganti rugi yang diberikan mesti mengimbangi sebaik mungkin perbelanjaan tambahan yang akan ditanggung oleh penjaga plaintif,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah juga tidak diberi kuasa untuk menentukan tempat terbaik untuk rawatan atau cara rawatan sebaliknya mesti ditentukan oleh penjaga atau dalam kes berkenaan adalah ibu bapa plaintif.

“Mereka tidak boleh dibelenggu dengan beban untuk memilih rawatan yang lebih murah berbanding pemulihan terbaik dan tepat pada masanya.

“Oleh itu, mahkamah tidak boleh menerima dakwaan defendan (kerajaan) bahawa tempat rawatan terbaik adalah kemudahan kerajaan yang percuma atau murah.

“Ini mungkin benar tetapi faktor yang lebih penting dalam pandangan mahkamah ialah memutuskan jenis rawatan terbaik, bukannya yang termurah,” kata hakim.

Sebelum ini, hospital berkenaan menjalankan siasatan dalaman berhubung komplikasi terbabit selepas kelahiran kanak-kanak itu.

Siasatan mendapati, pegawai perubatan yang bertugas tidak mempunyai pengalaman melakukan pembedahan dan ia dilakukan tanpa pengawasan pakar perbidanan dan sakit puan.

Kanak-kanak itu melalui bapanya, kemudian memfailkan saman terhadap kerajaan dan doktor terbabit dengan mendakwa mereka cuai dan gagal bertindak demi kepentingan mangsa.

Plaintif dalam kes ini memulakan tuntutan di atas kecuaian perubatan terhadap 19 pihak selaku defendan-defendan iaitu Kerajaan Malaysia dan 18 pegawai perubatan.

Dia mendakwa, akibat kecuaian perubatan itu, seorang bayi perempuan mengalami kecederaan saraf tunjang menyebabkannya lumpuh.

Plaintif pada masa ini terpaksa bergantung kepada ventilator dan mempunyai trakeostomi yang melekat padanya.