Bekas eksekutif akaun didakwa pecah amanah hampir RM1 juta

Abu Zarin Haron dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis bagi menghadapi pertuduhan kes pecah amanah, pada 2020 dan 2021 lalu.
Abu Zarin Haron dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis bagi menghadapi pertuduhan kes pecah amanah, pada 2020 dan 2021 lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas eksekutif akaun firma guaman mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini pada Khamis, atas sembilan tuduhan pecah amanah melibatkan hampir RM1 juta pada 2020 dan 2021 lalu.

Abu Zarin Haron, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun, Kamarudin Kamsun dan Datin Sabariah Othman.

Mengikut semua pertuduhan, Abu Zarin sebagai akaun eksekutif diamanahkan penguasaan ke atas akaun pelanggan firma didakwa melakukan pecah amanah dengan pengeluaran Sembilan cek berjumlah RM935,630.40 tanpa pengetahuan firma bagi kegunaan sendiri.

Kesalahan dilakukan di Tetuan Zainal Abidin dan Co Plaza Permata, Sentul, di sini, antara 4 September 2020 hingga 14 Oktober 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun, sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hannif dan Akmalzatul Mohamed Nawi manakala tertuduh diwakili dua peguam iaitu Kassim Ludin serta Ahmad Fadhli Salleh.

Semasa prosiding, Muhammad Amir dan Akmalzatul mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM175,000 dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Bagaimanapun, Kassim merayu agar ikat jamin itu dikurangkan pada kadar yang munasabah.

“Dia perlu menyara isterinya yang masih belajar termasuk tiga anak mereka, sementara bapanya pula mempunyai penyakit jantung serta paru-paru berair.

Ketiga-tiga mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua tuduhan, dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Julai ini.