Kakitangan perubatan di Thailand dijangkiti Covid-19

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Thailand melaporkan satu kes baharu jangkitan Covid-19 yang membabitkan seorang kakitangan perubatan negara itu, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 34.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Suwanchai Wattanayingcharoenchai berkata, wanita berusia 35 tahun itu didiagnosis dengan virus tersebut selepas mempunyai kontak dengan seorang pesakit Covid-19.

Beliau berkata, kakitangan perubatan dari sebuah hospital itu yang demam serta mengalami kesukaran bernafas segera dibawa ke Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura untuk dikuarantin dan kemudian diuji positif bagi Covid-19.

“Kami mendapati bahawa dia (kakitangan perubatan itu) tidak memakai penutup hidung dan mulut serta pakaian yang sesuai bagi melindungi dirinya semasa berurusan dengan pesakit dijangkiti.

“Kesemua 24 kakitangan perubatan yang mempunyai kontak rapat dengannya sudah diuji namun negatif Covid-19,” katanya pada taklimat harian di sini hari ini.

Bagaimanapun, Suwanchai tidak mendedahkan sama ada kakitangan itu seorang doktor atau jururawat.

Beliau berkata, semua kakitangan perubatan dan pekerja kesihatan barisan hadapan perlu mematuhi semua langkah berjaga-jaga yang standard untuk melindungi diri mereka.

Ketika ini, sejumlah 14 pesakit yang disahkan dijangkiti virus COVID-19 sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital manakala 20 lagi masih menerima rawatan.- Bernama

Artikel Berkaitan: