Provokasi di Batu Caves: Imigresen berundur ada sebab

Insiden provokasi di Batu Caves tular di laman sosial sejak malam tadi.
Insiden provokasi di Batu Caves tular di laman sosial sejak malam tadi.
A
A
A
GOMBAK - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) memandang serius tindakan sekumpulan lelaki yang dipercayai melakukan provokasi ketika penguatkuasa Imigresen melaksanakan tugas di Batu Caves, malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menganggap tindakan sekumpulan lelaki itu menghalang tugas penjawat awam.

"Pegawai dari Pejabat Imigresen Negeri Selangor akan buat laporan polis berhubung insiden itu," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Khairul berkata, pihaknya tidak gentar dengan sebarang tindakan provokasi oleh pihak-pihak yang melindungi pendatang tanpa izin di negara ini.

"Tindakan berundur ketika kejadian itu adalah bertujuan untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Tular di laman sosial sejak malam tadi, sekumpulan individu mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota penguatkuasa Imigresen yang sedang bertugas dalam operasi di kawasan tapak perniagaan haram dipercayai dikendalikan oleh peniaga dari India dan Pakistan.

Difahamkan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Imigresen telah membawa keluar anggota penguat kuasa bagi menggelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe ketika dihubungi memaklumkan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai wujudnya kejadian rusuhan seperti yang tular di media sosial.

"Walau bagaimanapun, kita akan menjalankan risikan dan siasatan jika ada keterangan pihak-pihak berkenaan didalangi oleh kumpulan kongsi gelap, tindakan tegas akan diambil melalui Op Cantas yang masih dilaksanakan sejak 5 Februari lalu," katanya.
Artikel Berkaitan:


Arifai berkata, pihaknya telah melancarkan operasi bagi memastikan keselamatan dan kelancaran lalulintas di sekitar kawasan Batu Caves, sejak perayaan Thaipusam pada 5 hingga 11 Februari lalu.

"Dalam tempoh itu, kita telah membuat 76 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk kesalahan pemerasan, ugutan jenayah, parkir haram dan lain-lain kesalahan bagi membendung sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.