Gaduh berebut awek, remaja lelaki dipukul sekumpulan pelajar

Tular seorang remaja lelaki dipukul sekumpulan pelajar sekolah menengah di kawasan rekreasi.
Tular seorang remaja lelaki dipukul sekumpulan pelajar sekolah menengah di kawasan rekreasi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Disebabkan berebut teman wanita, seorang remaja lelaki dipukul sekumpulan pelajar sekolah menengah di kawasan rekreasi dalam Taman Bistari Indah di sini pada 9 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 4.09 petang Isnin daripada mangsa yang berusia 15 tahun.

Pada masa sama katanya, pihak polis mengesan video berdurasi 59 saat berkenaan kejadian tersebut yang tular dalam media sosial pada jam 8.45 malam Isnin.

"Video berkenaan memaparkan seorang remaja lelaki dipukul beberapa remaja lelaki di tempat awam.

"Menerusi laporan polis itu, mangsa memberitahu ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk beberapa kali di bahagian depan dan belakang badan selain di bahagian perut, peha serta lengan kiri dan kanan.

"Mangsa dipukul enam remaja lelaki warga tempatan dan seorang remaja lelaki warga asing berusia 14 sehingga 17 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian lengan kiri dan kanan, bengkak peha kanan serta mengalami sakit seluruh badan.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Taman Pelangi Indah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan melakukan enam serbuan di sekitar daerah ini pada jam 5.30 petang sehingga 9.34 malam Isnin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil serbuan berjaya menangkap semua remaja berkenaan dan merampas lima helai baju-t serta sebuah telefon bimbit.

"Siasatan mendapati kes tersebut berlaku jam 3 petang pada 9 Ogos lalu dan sebab utama kerana suspek utama yang berusia 15 tahun tidak berpuas hati mangsa berkawan dengan aweknya," ujar beliau.

Raub berkata, semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa untuk ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah manakala kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.