X

Kindly register in order to view this article
!

ADUN kecewa insiden lelaki dikasari penguat kuasa MPSJ

Tangkap layar video insiden berkenaan yang tular di media sosial sejak semalam.
A
A

SUBANG JAYA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze menggesa anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang melakukan kekasaran terhadap seorang lelaki di USJ9 di sini memohon maaf kepada individu terbabit.

Beliau berkata, pihaknya berasa kecewa dan sedih dengan tindakan kasar anggota penguat kuasa itu selepas menonton video insiden yang tular di media sosial sejak semalam.

Menurutnya, meskipun tindakan lelaki tersebut memukul anggota penguat kuasa dengan menggunakan payung adalah tidak betul, namun anggota penguat kuasa tidak wajar membalas dengan kekasaran melampau.

“Pegawai penguat kuasa tersebut harus meminta maaf daripada individu terbabit. Pihak MPSJ pula perlu memperbetulkan situasi ini dengan individu tersebut.

"MPSJ juga perlu mengambil semua langkah yang wajar bagi memastikan semua pegawai penguat kuasa dilatih dengan secukupnya bagi menangani situasi tegang dan memastikan situasi seperti ini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu tular satu video berdurasi 37 saat menunjukkan seorang lelaki 'mengacukan' payung kepada seorang anggota penguat kuasa.

Tindakan itu dipercayai berlaku selepas anggota penguat kuasa terbabit melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan milik lelaki tersebut.

Anggota penguat kuasa berkenaan pada mulanya meminta supaya lelaki terbabit tidak menggunakan kekerasan, namun lelaki kelihatan agak berusia itu terus memukul anggota tersebut menggunakan payung.

Dipercayai berang dengan perbuatan lelaki itu, anggota penguat kuasa menumbuk dan menjatuhkannya di lantai.

Video itu turut merakam lelaki terbabit cedera dan mengalami pendarahan di bahagian kepala.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, pihaknya sudah menerima laporan daripada anggota penguat kuasa yang terlibat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186, Seksyen 332 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau dalam pada itu turut meminta jasa baik netizen menghentikan penyebaran video terbabit bagi mengelakkan spekulasi negatif dalam kalangan masyarakat.